Kekalahan demi kekalahan termasuk yang terbaru 0-4 kepada Selangor pada Jumaat menyaksikan Kelantan semakin hampir untuk kembali beraksi di Liga Premier selepas 10 musim.

Prestasi buruk ditunjukkan Kelantan sehingga sudah boleh dilabel pasukan belasahan Liga Super, jelas membuatkan bukan sahaja penyokong pasukan itu, tetapi penaja mereka turut menyuarakan rasa marah.

Kemarahan mereka ditujukan kepada Presiden, Bibi Ramjani  Ilias Khan dan ketua jurulatih Fajr Ibrahim yang dianggap sebagai punca kepada situasi “kuca lana” di kem pasukan itu dan mendesak masing-masing agar bertanggungjawab di atas kejatuhan pasukan.

Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu, Mohd Zainy Mohd Zin berkata “fans engagement” yang lemah dan sikap puan presiden yang gemar menyindir menyokong mengeruhkan lagi keadaan sekaligus tindakan memboikot perlawanan juga semakin ketara terlihat apabila venue lembah kelang yang lazimnya boleh menarik tidak kurang 5,000 penyokong TRW kelihatan begitu sepi malah kain rentang dinaikkan sebagai tanda protes.

“Presiden sepatutnya boleh menerima teguran dan boleh menyatukan penyokong di waktu sukar macam ni. Tetapi kini perpecahan penyokong semakin ketara kerana presiden terlalu emosi dan tidak tahu memenangi hati penyokong.

“Penyokong adalah asset pasukan, tetapi mereka disindir apabila menyuarakan kekecewaan terhadap prestasi pasukan malah tidak dianggap sebagai sebahagian daripada pasukan,” katanya.

Tambahnya, kegagalan pengurusan merancang kewangan dan halatuju pasukan daripada awal, ditambah dengan keputusan Fajr menyingkirkan ramai pemain tonggak dan merekrut hampir satu pasukan Piala Presiden ke dalam skuad senior menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal. 

“Penyerapan mereka haruslah dilakukan secara berperingkat dan mengikut fasa tertentu. Bukannya dengan menghumban mereka terus ke dalam kancah kompetitif dan mengharapkan survival yang agak tidak munasabah.

“Gandingan dan tunjuk ajar pemain senior amat diperlukan dan ia memakan masa untuk mematangkan pemain-pemain muda ini. Pendedahan pemain muda dalam skuad senior amatlah baik, tetapi perlu perancangan yang lebih teliti.”

Manakala Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada pula sekali lagi lantang menegur.

“Tolong jangan lupa anda membelanjakan wang penaja untuk mengutip sebanyak mungkin mata untuk kekal dalam Liga Super, demi kepentingan penyokong, penaja dan pasukan. Anda membuat keputusan merubah segalanya di dalam pasukan berdasarkan perancangan dan penilaian sendiri.

“Jika ianya gagal, jangan mencari alasan dan jangan mencari kambing hitam. Ini adalah asas utama dalam ketelusan pengurusan, faham?”

Dengan hanya berbaki sembilan perlawanan untuk diharungi, ianya dilihat sukar untuk Kelantan keluar yang ketika ini menghuni tangga tercorot dengan hanya lapan mata untuk keluar dari zon penyingkiran. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -