Kelibat dua pemain bergu wanita, Pearly Tan-M Thinaah sekali lagi menggegar arena badminton negara apabila mengesahkan slot ke pusingan kedua All England.

Turun berdepan pilihan keempat dari Thailand Jongkolphan Kititharakul – Rawinda Prajongjai, Pearly dan Thinaah yang turun dengan status underdog nyata beraksi di kelas tersendiri.

Aksi sengit dipamerkan kedua dua bergu yang saling mengejar mata sehingga kedudukan terikat 9 sama. Pearly dan Thinaah seakan akan sudah mampu membaca corak pemainan lawan apabila terus meninggalkan Kititharakul-Prajongjai sekaligus menutup set pertama dengan kemenangan 21-17

Set kedua lebih sengit dengan tempo permainan yang lebih pantas dipamerkan Jongkolphan Kititharakul – Rawinda Prajongjai namun Thinaah dan Pearly Tan tenang untuk mengumpul mata demi mata untuk terus meninggalkan lawan.

Keadaan semakin genting menuju penghujung permainan apabila kedua dua bergu terikat 20 sama. Dengan baki tenaga yang ada, Pearly Tan dan M Thinaah bijak menghidu ruang kosong yang ditinggalkan Kititharakul dan Prajongjai untuk menang 23-21 sekaligus mengesahkan slot ke pusingan kedua.

“Kami tidak menjangkakan kemenangan ini, Kami bermain dengan baik terutama ketika pertukaran posisi, komunikasi dan percaya diantara satu sama lain,”kata Pearly Tan.

Thinaah-Pearly akan bertemu pasangan England Jessica Hopton-Jenny Moore.

“Apa yang penting untuk kami ada fokus pada setiap mata dalam setiap perlawanan kerana ia sangat penting untuk kami. Momentum perlawanan kami di tahap terbaik dan berharap ia akan kekal pada perlawanan akan datang,”kata M Thinaah.

Mengikuti jejak Pearly Tan-M Thinaah adalah pasangan bergu campuran Cheng Tan Jie-Peck Yen Wei yang menang ke atas pasangan England, Gregory Mairs-Jenny Moore dalam aksi tiga set 21-13 18-21 21-18 dan akan berdepan pilihan ketujuh dari Perancis, Thom Gicquel- Delphine Delrue.

Turut sama mara, pilihan keenam Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang menang ke atas pasangan Jepun, Takuro Hoki – Nami Matsuyama straight set 21-13 21-13 namun nasib berbeza dialami satu lagi bergu muda Hoo Pang Ron – Cheah Yee See yang tewas 13-21, 14-21 kepada gandingan Denmark, Niclas Nohr – Amalie Magelund

Dua bergu profesional negara, Goh V Shem – Tan Wee Kiong dan Ong Yew Sin – Teo Ee Yii turut mara ke pusingan kedua selepas menundukkan lawan masing masing namun bergu muda lelaki, Low Hang Yee – Ng Eng Cheong tumpas 16-21, 19-21 kepada pasangan dari Denmark, Mathias Christiansen – Niclas Nohr

Turut mengesahkan kemaraan adalah perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang menundukkan pemain Kanada, Brian Wang straight set 21-13, 21-10 dan akan bertemu wakil Denmark Hans-Kristian Solberg Vittinghus dipusingan kedua hari ini namun seorang lagi wakil negara Liew Darren kandas apabila tewas kepada HS Prannoy 10-21, 10-21.

Manakala wakil perseorangan wanita, S Kisona tewas 6-21, 7-21 kepada pilihan kelapan dari Thailand, Busanan Ongbamrungphan sementara Soniia Cheah kecundang di tangan pemain India yang juga pilihan kelima, Pusarla V. Sindhu 11-21, 17-2.

- Advertisement -