NEGERI Sembilan mengekalkan momentum kemenangan besar selepas mengatasi Sabah 5-0 pada perlawanan TNB Liga Hoki Malaysia (Wanita) 2022 di Stadum Hoki Nasional malam ini. 

Kejayaan itu meletakkan skuad bimbingan K. Rajan itu terus mengemudi kedudukan liga  mengatasi KPT-Uniten Thunderbolts yang turut meraih tiga penuh selepas kejayaan menundukkan Mutiara Impian-MSSPP-PSHA  4-0 malam ini. 

Selepas menang bergaya 8-0 ke atas Mutiara Impian-MSSP-PSHA pada perlawanan pembukaan, Negeri Sembilan, yang dibarisi enam pemain kebangsaan, nyata sukar disaingi.  Pemain kebangsaan yang diserap masuk musim ini menjadi penggerak utama pasukan dengan kesemua mereka menghasilkan lima gol yang dijaringkan mala mini. 

Begitupun, Negeri Sembilan terpaksa menunggu sehingga penghujung suku pertama sebelum Nuramirah Shakirah Zulkifli meledak pada minit ke 14, diikuti Hanis Nadiah Onn pada minit ke-19 dan ke-35 manakala Nur Afiqah Syahzani Azhar lima minit sebelum tamat separuh masa. 

Nur Syuhada Suhaimi melengkapkan kemenangan besar Negeri Sembilan menerusi jaringan gol padang pada minit ke-39. 

Skuad pilihan KPT-Uniten Thunderbolts pula gagal memanfaat peluang memintas Negeri Sembilan di puncak liga menerusi perbezaan gol biarpun menang selesa 4-0 ke atas pasukan bawahan Mutiara Impian-MSSPP-PSHA.  

Negeri Sembilan mempunyai kelebihan 13 jaringan setakat ini manakala KPT-Uniten Thunderbolts sekdar 5 gol.

Dengan barisan sembilan pemain kebangsaan yang dimiliki musim ini, KPT-Uniten Thunderbolts nyata mempunyai kekuatan menyeluruh tetapi seakan masih bergelut di depan gol, sekadar menang 1-0 ke atas National Development Team pada perlawanan sebelum ini. 

Ketumpulan terutama kegagalan menyempurnakan pukulan sudut penalti begitu ketara dan penghalang terbesar buat KPT-Uniten mencatat jaringan lebih besar. 

Nuraslinda Said berjaya mencatat nama sebagai penjaring hatrik apabila meledak gol pada minit ke ke-4, ke-15 dan ke-60 manakala satu lagi gol padang Siti Nurarfah Mohd Nor pada minit ke-24 membantu menjulang kejayaan Uniten. 

Dalam pada itu, National Development Team yang dibimbing Megat Azrafiq Megat Termizi mencatat kemenangan pertama menumpaskan Sarawak Ladies 1-0 hasil jaringan Nur Syaza Afiqah Safawin pada minit terakhir minit ke-59 permainan. 

Kemenangan itu membolehkan National Development Team  menduduki tangga ketiga dengan tiga mata setakat ini. 

- Advertisement -