
Hari kelapan saingan Deaflympics Tokyo 2025 menyaksikan satu lagi pencapaian membanggakan kontinjen Malaysia apabila gandingan tenpin boling wanita Nor Misha Nathera Mackery dan Huwainaa Danduan Abdullah menghadiahkan pingat perak, sementara pelari jarak sederhana Azlan Kuste sekali lagi memecahkan rekod peribadinya dalam acara 800m.
Di arena trek dan padang, drama kelayakan turut meletakkan kuartet 4x400m lelaki ke final, mengekalkan momentum Malaysia dalam pemburuan pingat.
Gandingan Nor Misha–Huwainaa tampil mantap di arena Tokyo apabila persefahaman mereka membuahkan kejayaan, menjelmakan pingat perak dalam acara beregu wanita—melebihi sasaran awal pasukan.
Pada saingan penentu, mereka tewas 0–2 kepada pasangan Korea, Lee Chanmi–Heo Seonsil, dengan keputusan 175–berbanding 203 dan 180–208.
Jurulatih negara, Joe Tey, menyifatkan pencapaian tersebut sebagai satu lonjakan besar.
“Nor Misha dan Huwainaa menunjukkan peningkatan yang sangat ketara dan semakin matang sebagai pemain. Kejayaan di Tokyo ini pastinya menyuntik keyakinan serta mengukuhkan daya tahan mental mereka ketika berdepan tekanan,” kata Joe.
Menurutnya, peluang untuk menambah kilauan pingat juga masih cerah.
“Kita ada tiga lagi acara – lelaki berpasukan, campuran bedan wanita berpasukan. Ada peluang besar, terutama pasukan lelaki yang berpotensi menang emas,” katanya.

Dalam pada itu, bintang jarak jauh negara Azlan Kuste terus mencuri tumpuan apabila memecahkan rekod peribadi yang diciptanya semalam (1 min 59.40s) dengan catatan baharu 1:58.75s dalam saingan 800m.
Tumpuan dan harapan kini kepada Azlan untuk melakukan sesuatu pada acara final 5,000m yang dijadualkan pada 24 November.
Aksi dramatik di Stadium Metropolitan Komazawa juga memberi peluang kedua kepada skuad 4x400m lelaki negara untuk mengisi slot di final.
Kuartet Muhammad Zumar Azman, Muhammad Shahrul Azmer Azman, Azlan Kuste, dan Muhammad Zamir Azman, mencatat masa 3min :33.94, menamatkan saingan di tempat ketiga dalam saringan kedua pusingan pertama.
Walaupun berada di kedudukan kelima keseluruhan, Malaysia mara ke final selepas dua pasukan lawan dibatalkan penyertaan, manakala satu lagi gagal menamatkan perlumbaan.






























