
Juara bertahan Kejohanan Kelab ASEAN Shopee Cup™, Buriram United FC, meneruskan misi mempertahankan kejuaraan apabila skuad kendalian Mark Jackson bertandang ke Malaysia untuk berdepan Johor Darul Ta’zim FC dalam aksi pertama separuh akhir pertama pada Rabu.
Satu lagi pertembungan separuh akhir menyaksikan juara V.League 1, Nam Định FC, bertemu tuan rumah Selangor FC di Stadium MBPJ ketika saingan semakin memuncak dalam fasa kalah mati memburu kejuaraan kelab terbaik Asia Tenggara.
Buriram turun dengan keyakinan tinggi untuk mengekalkan rekod cemerlang menentang skuad kendalian Xisco Muñoz, selepas tidak tewas dalam empat pertemuan terdahulu antara kedua-dua pasukan.
Pertembungan berprofil tinggi di Stadium Sultan Ibrahim itu menemukan dua jentera serangan paling tajam di peringkat kumpulan, dengan Buriram menjaringkan 14 gol manakala JDT mengekori rapat dengan 13 gol.
“Kami tahu ini akan menjadi perlawanan yang sangat sukar dan kedua-dua pasukan mahu ke final,” kata penyerang Buriram, Guilherme Bissoli, yang kini penjaring terbanyak pasukan dengan empat gol.
“Fokus kami adalah untuk beraksi baik, bermain dengan gaya kami dan melakukan segala yang termampu untuk mara.”
Buriram sebelum ini menewaskan Công An Hà Nội FC dalam final edisi sulung Shopee Cup™ musim lalu dan kini terus berada di landasan memburu lebih banyak trofi selepas mempertahankan kejuaraan liga domestik serta mara ke separuh akhir Piala FA Thailand.
Persaingan antara Buriram dan JDT kini semakin menjadi tumpuan, dengan empat pertemuan terdahulu menyaksikan dua keputusan seri tanpa jaringan dan dua kemenangan tipis memihak kelab Thailand itu – semuanya dalam saingan AFC Champions League Elite.
Dalam aksi pusingan 16 terbaik musim 2024/25, kedua-dua pasukan seri 0-0 pada perlawanan pertama sebelum jaringan tunggal Suphanat Mueanta dalam aksi kedua memastikan Buriram mara ke suku akhir.
Mereka kembali bertemu dalam edisi 2025/26 pada September lalu, dengan Buriram sekali lagi menang 2 -1 menerusi jaringan Suphanat dan Robert Žulj.
“Ia amat bermakna buat kami dan kelab jika dapat menjulang trofi ini sekali lagi,” tambah Bissoli. “Ini adalah kejohanan antarabangsa yang sangat penting dan kompetitif.”


Sementara itu, pertembungan antara Nam Định dan Selangor bakal menjadi sejarah baharu apabila kedua-dua pasukan bertemu buat kali pertama, selepas masing-masing mempamerkan aksi konsisten di peringkat kumpulan.
Wakil Vietnam itu muncul pasukan terbaik keseluruhan peringkat kumpulan dengan empat kemenangan dan satu seri, dipacu ketajaman penyerang utama Nguyễn Xuân Son yang kini mendahului carta penjaring dengan tujuh gol.
Ketajamannya bakal menjadi ancaman utama ketika Nam Định cuba menjejaki langkah Công An Hà Nội FC yang mara ke final musim lalu.
Nam Định turut diperkuatkan dengan kembalinya ketua jurulatih Vũ Hồng Việt, yang akan berdepan strategi Selangor di bawah bimbingan Kim Pan-gon.
Di bawah Kim Pan-gon, Selangor menunjukkan kebangkitan ketara apabila hanya tewas sekali dalam 18 perlawanan dalam semua pertandingan sejak Januari, dengan 12 kemenangan membantu mereka kekal di tangga kedua Liga Super Malaysia.
“Selangor adalah pasukan yang kuat, terkenal dengan kepantasan dan kekuatan fizikal,” kata penyerang Nam Định, Lâm Ti Phông.
“Saya percaya ini akan menjadi perlawanan yang menarik dan menyerang daripada kedua-dua pihak.”
Perlawanan pertama separuh akhir akan berlangsung pada Rabu, manakala aksi timbal balik dijadualkan pada 13 Mei. Final Kejohanan Kelab ASEAN Shopee Cup™ musim 2025/26 akan dimainkan secara timbal balik pada 20 dan 27 Mei





























