Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon yang jelas kecewa berjanji akan terus memberikan tentangan kepada Buriram United FC minggu depan selepas mengalami kekalahan 1-0 di laman sendiri dalam aksi pertama final Kejohanan Kelab ASEAN Shopee Cup™ 2025/26 pada Rabu malam.

Kekalahan pertama pasukan Malaysia itu dalam lapan perlawanan kejohanan musim ini menjadi tamparan buat harapan mereka untuk menamatkan kemarau trofi selama 11 tahun selepas tandukan Suphanat Mueanta pada babak pertama memberikan kemenangan kepada penyandang juara di Stadium MBPJ.

Anak buah Kim terlepas beberapa peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan dan kini perlu bersedia menghadapi perjalanan sukar ke Buriram bagi aksi timbal balik kedua Rabu depan.

“Ya, kami sangat kecewa kerana tidak dapat menggunakan sepenuhnya kelebihan bermain di tempat sendiri,” kata Kim.

“Pada separuh masa pertama, kami sedikit bergelut dan melakukan terlalu banyak kesilapan sendiri. Tetapi pada separuh masa kedua, kami bermain dengan sangat baik. Saya rasa kami mengawal permainan dan mencipta banyak peluang menjaringkan gol. Ia sesuatu yang sangat positif.

“Namun, kami masih mempunyai 90 minit lagi di tempat lawan. Ia akan menjadi sangat sukar, tetapi sebagai Selangor, kami mesti bangkit dengan kuat, berdiri teguh dan membuat semua penyokong Selangor serta rakyat Malaysia bangga. Kami akan cuba sedaya upaya untuk pulih dengan baik dan membuat persiapan terbaik untuk perlawanan seterusnya.”

Kapten pasukan, Faisal Halim turut senada dengan Kim dan menegaskan perjuangan memburu Shopee Cup™ masih belum berakhir walaupun tewas. Beliau tahu pasukannya perlu lebih berhati-hati untuk mengurangkan kesilapan selepas menyaksikan Suphanat yang tidak dikawal mudah menanduk masuk hantaran silang daripada Theeraton Bunmathan.

“Walaupun kami kalah, kami masih ada 90 minit lagi. Dalam perlawanan seperti ini, kami perlu kurangkan kesilapan. Jika kami melakukan kesilapan mudah, kami perlu membayar harganya. Gol itu bukan datang daripada situasi berbahaya, ia hanya gol mudah. Kami tidak akan mengalah,” kata Faisal.

“Ia memang mengecewakan kerana kami bermain di tempat sendiri. Kami mempunyai beberapa peluang yang baik. Kami mengawal permainan, menyerang dan mencipta peluang, tetapi kami gagal menyempurnakan bola ke dalam gol dan itu perkara paling penting malam ini.”

Shopee Star of the Match, Hugo Boumous pula berkata Selangor akan ke Thailand dengan keyakinan bahawa mereka mampu memadam defisit satu gol tersebut.

“Kami perlu berani,” tegas pemain tengah dari Perancis itu.

“Berani dalam bola sepak adalah salah satu perkara paling penting.

“Kami boleh berbangga dengan apa yang kami lakukan hari ini. Kami berjuang bersama dengan semangat yang hebat dan sekarang kami perlu bangkit semula kerana masih ada lagi 90 minit untuk dimainkan dan saya yakin kami boleh melakukannya.”

Selangor sebenarnya berjaya menjaringkan gol menerusi Mohammad Abualnadi, namun percubaan itu dibatalkan kerana ofsaid manakala penyerang Brazil, Chrigor Moraes pula hanya mampu melihat percubaannya tersasar tipis dari gawang.

Pada babak kedua, Boumous hampir menyamakan kedudukan apabila rembatan kaki kirinya terkena tiang kiri gol ketika pasukan tuan rumah akhirnya menamatkan malam dengan kekalahan.

Kim mengakui beliau merindui kehadiran Mamadou Diarra di benteng pertahanan Selangor, namun pemain Senegal itu dijangka kembali tersedia untuk aksi timbal balik nanti ketika Buriram United juga bakal diperkuatkan semula oleh penyerang Guilherme Bissoli yang terlepas aksi Rabu akibat penggantungan.

“Kami tidak akan memberikan mereka banyak peluang,” kata Kim.

“Saya rasa mereka hanya mempunyai satu peluang besar dan satu lagi peluang pada penghujung separuh masa pertama.

“Tetapi saya percaya kami mencipta lebih banyak peluang berbanding lawan, jadi masih ada perkara positif. Saya mahu memberi galakan kepada para pemain supaya lebih yakin kerana keyakinan sangat penting. Kami akan pergi ke sana dan menyerang mereka.”

- Advertisement -