Pada usia 14 tahun, atlet cilik dalam sukan ski air ini tidak pernah mengecewakan dalam setiap penampilan beliau baik dalam kejohanan tempatan mahupun di luar negara.

Kelincahan Aaliyah Yoong Hanifah dalam setiap aksi dan mempamerkan aksi konsisten dalam setiap pertandingan yang disertai sepanjang tahun 2017 membolehkan beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Atlet Muda Terbaik pada Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2017.

“Pada pendapat saya beliau adalah atlet yang paling layak dinobatkan anugerah atlet muda terbaik pada kali ini diatas pencapain yang sungguh memberangsangkan sepanjang tahun 2017,” kata Naib Presiden SAM Izahar Atan.

Atlet ski air remaja itu baru-baru ini berjaya menempatkan dirinya di kedudukan kedua dalam ranking dunia untuk acara tricks bagi kategori bawah 17 tahun.

Aaliyah Yoong, pemenang tiga pingat emas Sukan SEA 2017 itu turut menduduki tangga kelima dunia untuk kedudukan keseluruhan.

Sepanjang tahun lepas, selain tiga pingat emas dan satu perak yang diraih Aaliyah Yoong dalam Sukan SEA, beliau turut melakar pencapaian cemerlang dalam pertandingan peringkat antarabangsa yang lain.

Antara pencapaian besar yang diraih Aaliyah ialah mengungguli acara tricks dalam Kejohanan Asia Oceania IWWF di Auckland, New Zealand dan juga berada di kedudukan ketiga dalam Kejuaraan Remaja Moomba Masters.

Tahun lepas, anugerah itu diberikan kepada Nur Dhabitah Sabri daripada sukan terjun, yang mempamerkan prestasi cemerlang khususnya ketika beraksi di temasya Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil, tahun lepas.

Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) akan sekali lagi memberikan pengiktirafan kepada seluruh warga sukan negara menerusi penganjuran Majlis Anugerah SAM-100 PLUS 2017 yang akan berlangsung pada 1hb Mac 2018 di Hotel Hilton, Petaling Jaya.

Majlis Anugerah SAM-100PLUS yang gilang gemilang itu akan menjadi platform pengiktirafan terbaik setelah rentetan pencapaian hebat atlet-atlet negara dan pemegang taruh lainnya dalam mewarnai kancah sukan negara sepanjang tahun 2017.

Majlis anugerah berkenaan juga terus memberi pengiktirafan kepada warga kewartawanan sukan negara menerusi tujuh kategori anugerah yang dipertandingkan.

Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan di nobatkan sebagai penerima ‘Anugerah Siebel’ dengan hadiah wang tunai RM7,000 dan trofi.

- Advertisement -