Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menggantung pemain dari negara Laos daripada menyertai sebarang aktiviti melibatkan bolasepak seumur hidup.

Menerusi Jawatankuasa Displin dan Etika, AFC memutuskan untuk menggantung Thipphonexay Inthavongsa seumur hidup selepas didapati bersalah atas tuduhan ‘konspirasi untuk memanipulasi’ keputusan perlawanan persahabatan antarabangsa diantara Hong Kong dan Laos pada 5 Oktober 2017.

Thipphonexay dituduh dibawah artikel 66.1 Kod Etika dan Displin AFC edisi 2018.

AFC meletakkan integriti sebagai perkara paling utama dalam misi dan visi organisasi untuk memastikan gejala mengatur perlawanan dibawa ke muka pengadilan tanpa sebarang toleransi.

Persekutuan Bolasepak Laos (LFF) telah dimaklumkan berhubung keputusan ini dan AFC akan memohon kepada badan induk bolasepak dunia, FIFA untuk mengenakan hukuman tersebut di peringkat antarabangsa.

Pada Februari, dua pemain kebangsaan negara itu, Khampheng Sayavutthi dan Lembo Saysana turut dikenakan hukuman penggantungan seumur hidup atas kesalahan yang sama.

 

 

 

- Advertisement -