Tiga pemain skuad Harimau Malaya ke Piala Suzuki AFF 2020 yang diuji positif COVID-19 sebelum ini iaitu penjaga gol, Khairulazhan Khalid; pemain sayap, Faisal Halim dan pertahanan kanan, Quentin Cheng kembali menyertai aktiviti pasukan di hotel penginapan di Singapura, hari ini.

Menurut ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe, ketiga-tiga pemain tersebut telah mendapat surat pelepasan daripada Kementerian Kesihatan Singapura, semalam selepas Khairulazhan dan Faisal selesai menjalani tempoh 10 hari Perintah Pengasingan (Isolation Order) manakala Quentin pula diberi pelepasan awal selepas tempoh tujuh hari Perintah Pengasingan berdasarkan keputusan ujian PCR yang dijalankan.

“Ketiga- tiga pemain ini telah memulakan aktiviti bersama pasukan dengan aktiviti pertama ialah di gimnasium ini memandangkan hari ini merupakan hari recovery selepas kita beraksi menentang Vietnam, malam tadi. Mereka selepas ini akan dapat turut kembali menyertai sesi latihan penuh kita di padang bagi persiapan menghadapi perlawanan terakhir Kumpulan B menentang Indonesia pada Ahad, 19 Disember 2021.

“Bagaimanapun, seorang lagi pemain yang diuji positif COVID-19 sebelum ini iaitu Akhyar Rashid masih perlu melengkapkan tempoh 10 hari Perintah Pengasingan dan hanya akan kembali menyertai pasukan selepas tamat tempoh berkenaan,” kata Cheng Hoe.

Sementara itu, berhubung status kecederaan dua pemain pertahanan tengah iaitu kapten, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Shahrul Saad, pengendali Harimau Malaya itu berkata, kedua-dua pemain tersebut telah mendapat kecederaan hamstring sehingga terpaksa dikeluarkan ketika aksi bertemu Vietnam, malam tadi.

“Doktor dan fisioterapis pasukan akan terus memantau tahap kecederaan kedua-dua pemain ini dari semasa ke semasa sebelum kita membuat penilaian sama ada mereka sempat atau tidak untuk pulih menjelang perlawanan menentang Indonesia nanti.

“Bagi posisi pertahanan tengah ini, kita masih memiliki Dominic Tan yang bebas daripada sebarang kecederaan manakala Junior Eldstal masih dalam proses pemulihan kecederaan otot di bahagian abdomen.

“Namun, kita bakal memiliki Dion Cools yang dijangka tiba di Singapura pada Khamis ini (16 Disember 2021) untuk mengisi posisi pertahanan tengah ini andai Aidil dan Shahrul tidak sempat pulih menjelang perlawanan Ahad nanti,” jelas Cheng Hoe

- Advertisement -