Atlet ketangkasan berkuda Malaysia Mohh Qabil Ambak mengangkat topi saat bertanding pada kelas dressage individual intermediate I freestyle Asian Games 2018, di Jakarta International Equestrian Park, Pulomas, Jakarta, Kamis (23/8). ANTARA FOTO/INASGOC/Jefri Tarigan/tom/18.

Jaguh ekuestrian negara Qabil Ambak Mahamad Fathil membuktikan bisanya belum hilang apabila menyumbang pingat perak kedua buat kontijen negara di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 menerusi acara dressage individu di Pusat Ekuestrian Antarabangsa Jakarta, pada Khamis.

Qabil yang kembali membuat penampilan di Sukan Asia selepas memenangi gangsa di Guangzhou 2010 pada hakikatnya begitu hampir memenangi pingat emas pertama Malaysia apabila tampil dengan aksi memukau bersama kudanya Rosenstolz.

Namun dia terpaksa akur tewas dengan jurang mata yang sangat kecil kepada Jaqueline Wing Ying Siu dari Hong Kong – dengan 76.640 mata, Qabil hanya dipisahkan 0.425 mata sahaja dengan Jacqueline sekaligus terus kempunan untuk mengenggam emas di temasya sukan terbesar Asia ini dalam lima penampilan sejak 1998.

Begitupun ia masih boleh dilabel sebagai satu pencapaian yang cukup mengagumkan kerana dia hanya menjalani latihan yang singkat dan bertandang ke Indonesia tanpa ekspetasi tinggi selain kudanya itu bukanlah kuda mahal sepertimana pencabar-pencabar lain.

Malah, Rosenstolz yang ditunggangnya itu adalah kuda milik adiknya Quzandria Nur.

“Sudah tentu ada perasaan bercampur baur, saya menang pingat perak walaupun sebenarnya tidak meletakkan sasaran besar dan tidak mempunyai masa yang panjang untuk membuat persiapan. Saya berlatih dengan kuda adik saya selepas dia bersalin hujung tahun lalu dan membelanjakan kira-kira RM1 juta untuk mengambil bahagian di sini.

“Namun dalam masa sama saya sedih dan kecewa kerana terlepas emas dengan jurang mata yang sangat kecil, saya mendahului pusingan kelayakan selama dua hari tetapi hari ini saya bermula dengan agak kelam kabut sedikit, mungkin kuda saya tertekan apabila masuk gelanggang.

“Susah nak menjangka kerana pemberian mata bersifat subjektif jadi ia terpulang kepada pengadil, kalau dia suka kepada rutin dan lagu. Terdapat kekurangan dalam pemarkahan dalam bahagian artistic yang mempengaruhi markah keseluruhan,” kata Qabil.

Untuk rekod, dalam empat penampilan terdahulu Qabil pernah menang tiga gangsa iaitu menerusi dressage individu (2006, 2010) dan dressage berpasukan (2010) serta dua pingat perak menerusi dressage berpasukan pada 1998 dan 2006.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -