Md Akid Aziz(duduk kanan) bersama Valentino Rossi dan pelumba lain di Kem Master VR46, Tavullia, Itali.

Md Akid Aziz yang baru kembali dari menyertai latihan di Kem Master VR46, akademi milik juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi di Tavullia, Itali pada 10 hingga 14 Mei lalu akui cukup teruja dengan pengalaman yang diperoleh setelah berjaya menamatkan kem latihan dengan jayanya.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu telah menunjukkan peningkatan prestasi sepanjang berada di Itali termasuk dengan memenangi perlumbaan ketika sesi latihan menggunakan jentera miniGP.

Pelumba berusia 18 tahun itu berharap dapat memanfaatkan pengalaman di Itali dalam usaha untuk mengembangkan kariernya ke peringkat lebih tinggi termasuk di peringkat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Teluk Intan, Perak, minggu ini.”

Akid(dua dari kiri) merupakan pelumba kedua negara yang terpilih menjalani latihan bersama juara dunia.

“Sesi latihan di Itali telah berakhir dan saya gembira dapat menunjukkan perkembangan baik di sana. Saya berterima kasih kepada Yamaha dan VR46 diatas sokongan dan usaha mereka,” jelas juara CP115 musim 2016 itu.

“Saya berharap dapat meneruskan latihan seperti ini apabila berada di rumah. Meskipun terdapat perbezaan, tetapi saya akan cuba melakukan sesuatu yang hampir serupa untuk membantu perkembangan karier saya.”

Turut bersama Akid di Itali ialah pelumba Thailand, Peerapong Boonlert (18), Anggi Setiawan (18) dari Indonesia, Shota Ite (15), Jepun, Brandon Demmery (19), Australia dan Tomas Casas (17), Kanada.

Akid merupakan pelumba kedua negara yang terpilih menjalani latihan bersama juara dunia itu selepas juara kebangsaan kelas CP130, Kasma Daniel Kasmayudin pada tahun 2016.

Akid akan turun mempertahankan kedudukan pendahulu keseluruhan CP115 pada Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan, Perak pada 20 dan 21 Mei ini. Masuk adalah percuma kepada pengunjung-pengunjung.

- Advertisement -