Oleh Muhammad Aiman

Setelah muncul salah satu dari hanya dua pasukan yang mengutip tiga mata pada minggu pembukaan, Felda United mahu mengekalkan rekod sempurna mereka meskipun menyedari laluan berliku menanti apabila bertandang ke Larkin untuk menentang Johor Darul Takzim.

Skuad juara Liga Super itu tidak pernah tewas di gelanggang keramat mereka dalam 45 perlawanan liga sejak 2013 dan 26 perlawanan terakhir membabitkan semua pertandingan sejak kekalahan kepada Felda dalam separuh akhir Piala Malaysia pada November 2015.

Bagi pengendali The Fighters, Azmi Mohamed, dia mengagumi kekuatan JDT yang begitu kebal di laman sendiri dan terbukti pasukan terbaik Liga Malaysia namun menurutnya aksi 90 minit di atas padang yang akan menentukan siapa bakal pulang sebagai pemenang, bukannya rekod tersebut.

“Semua pasukan mengalami rombakan, ada pemain keluar dan masuk jadi masing-masing masih lagi mencari keserasian dan kombinasi yang betul. Tidak terkecuali Felda mahupun JDT. Musim baru bermula, ada pasukan yang masih belum menemui rentak mereka. Jadi bagi saya, ianya mengenai siapa yang bermain lebih baik dalam perlawanan ini.

“Rekod lalu tidak menentukan keputusan perlawanan, Felda sendiri pernah menewaskan JDT di Larkin sebelum ini, tapi kita tidak boleh katakan itu sebagai bukti kami boleh ulanginya. Apa yang penting, saya mahu persiapkan pasukan terbaik untuk perlawanan getir ini.

“Tidak mustahil kami boleh pulang dengan tiga mata tetapi JDT pastinya akan tampil dengan strategi atau percaturan baru selepas sekadar seri menentang Kedah,” kata Azmi yang pernah menjadi jurulatih sementara JDT pada 2013.

Untuk rekod, Felda menundukkan PKNS FC 1-0 minggu lalu di Stadium Tun Abdul Razak menerusi jaringan tunggal pemain kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha manakala JDT pula melepaskan pendahuluan satu gol untuk seri 1-1 menentang Kedah.

The Fighters bakal turun tanpa kelibat penyerang dari Argentina, Lucas Cano yang terpaksa pulang ke negaranya kerana masalah peribadi namun Azmi dijangka tidak berdepan masalah mencari pengganti kerana dia mempunyai Norshahrul dan Gaston Cellerino untuk mengemudi barisan depan.

- Advertisement -