
Amelia Lee dan Jarvis Liew Zun Xin menutup saingan 100PLUS Persatuan Golf Malaysia (MGA) Program Pembangunan Remaja Kebangsaan (NJDP) 2026 Pusingan Kedua dengan penuh bergaya apabila masing-masing dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori perempuan dan lelaki selepas bertarung selama tiga hari di Kelab Golf A’Famosa, Melaka.
Amelia mengekalkan rentak konsisten untuk muncul juara keseluruhan kategori perempuan dengan catatan keseluruhan 209 pukulan, tujuh bawah par.
Kejayaan itu menyaksikan Amelia menamatkan saingan dengan kelebihan 12 pukulan ke atas Choi Quinn-Cie yang menduduki tempat kedua mengumpul 221 pukulan.
Pada pusingan terakhir hari ini, Amelia sekali lagi mencatat 69 pukulan, tiga bawah par, untuk melengkapkan tiga pusingan dengan catatan dibawah par berturut-turut.
“Hari ini berjalan dengan sangat baik. Saya bermula dengan baik, menghasilkan birdie yang bagus dan berjaya menyelamatkan par saya,” kata Amelia.
Tambahnya lagi, kunci kepada konsistensinya sepanjang tiga hari adalah berpegang kepada pelan permainan yang sama, iaitu memastikan pukulan tee berada di fairway, mendekati green dan kemudian menyempurnakan putting.
Kejayaan Amelia turut mengesahkan keunggulannya dalam Kategori Perempuan A, apabila dia muncul juara dengan catatan 209 pukulan, manakala Vikasni Laakshitaa Bala Subramaniam menamatkan saingan sebagai naib juara dengan 232 pukulan.
Dalam Kategori Perempuan B, Choi Quinn-Cie muncul juara selepas mengumpul 221 pukulan lima di atas par, mengatasi Raissa Ahmad Zuhaili di tempat kedua dengan 226 pukulan, diikuti Amirah Nur Hanania Afanizam di tempat ketiga dengan 229 pukulan.
Dalam kategori lelaki, Jarvis Liew Zun Xin menampilkan aksi cukup bertenaga untuk merangkul kejuaraan selepas mengumpul 212 pukulan, empat bawah par selepas tamat tiga pusingan.
Jarvis yang mendahului selepas hari kedua dengan kelebihan besar bagaimanapun mengakui sedikit gementar menjelang pusingan terakhir, namun memilih untuk kekal tenang dan bermain mengikut rentak sendiri.
“Sejujurnya, saya agak gementar untuk memasuki hari ketiga, tetapi saya hanya perlu bermain seperti biasa, tidak terlalu agresif, lebih tenang dan cuba melakukan yang terbaik,” katanya.
Ketenangan itu membantunya menguruskan tekanan pada hari terakhir sebelum menamatkan kejohanan sebagai juara, dan menganggap kejayaan tersebut sebagai suntikan semangat untuk harungi lebih banyak saingan seterusnya.
Kejayaan Jarvis turut menyaksikan dia muncul juara Kategori Boys B dengan catatan 212 pukulan, manakala Raja Muhammad Syakir Raja Mohd Sukry menduduki tempat kedua dengan 223 pukulan dan Mohammad Fahrain Fadzilisham di tempat ketiga dengan 227 pukulan.
Kategori Lelaki A pula menyaksikan Muhamad Eiqbal Aisy Mohd Elauddin muncul juara selepas mengumpul 229 pukulan diikuti Khaleef Umar Azim Mohd Nafidz menduduki tempat kedua dengan 231 pukulan, manakala Alif Iskandar Ishak di tempat ketiga dengan 239 pukulan.
Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengarah Perhubungan Kerajaan & Industri Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N), Norazrin Norsyam Yee dan Pengerusi Program Pembangunan Remaja Kebangsaan (NJDP) bagi Persatuan Golf Malaysia (MGA), Mohd Fauzi Mesran.
Kedudukan Lima Pemain Teratas Keseluruhan – Perempuan
Amelia Lee – 209 (-7)
Choi Quinn-Cie – 221 (+5)
Raissa Ahmad Zuhaili – 226 (+10)
Amirah Nur Hanania Afanizam – 229 (+13)
Vikasni Laakshitaa Bala Subramaniam – 232 (+16)
Kedudukan Lima Pemain Teratas Keseluruhan – Lelaki
Jarvis Liew Zun Xin – 212 (-4)
Raja Muhammad Syakir Raja Mohd Sukry – 223 (+7)
Mohammad Fahrain Fadzilisham – 227 (+11)
Muhamad Eiqbal Aisy Mohd Elauddin – 229 (+13)
Khaleed Ikhwan Azim Dato’ Mohd Nafidz – 229 (+13)
SENARAI PEMENANG
Kategori Perempuan A
Juara: Amelia Lee – 209
Naib Juara: Vikasni Laakshitaa Bala Subramaniam – 232
Kategori Perempuan B
Juara: Choi Quinn-Cie – 221
Naib Juara: Raissa Ahmad Zuhaili – 226
Tempat Ketiga: Amirah Nur Hanania Afanizam – 229
Tempat Keempat: Deepika Ganesan – 237
Tempat Kelima: Izz Zayani Mohd Imran – 244
Kategori Lelaki A
Juara: Muhamad Eiqbal Aisy Mohd Elauddin – 229
Naib Juara: Khaleef Umar Azim Dato’ Mohd Nafidz – 231
Tempat Ketiga: Alif Iskandar Ishak – 239
Kategori Lelaki B
Juara: Jarvis Liew Zun Xin – 212
Naib Juara: Raja Muhammad Syakir Raja Mohd Sukry – 223
Tempat Ketiga: Mohammad Fahrain Fadzilisham – 227
Tempat Keempat: Khaleed Ikhwan Azim Dato’ Mohd Nafidz – 229
Juara Keseluruhan
Kategori Girls: Amelia Lee – 209
Kategori Boys: Jarvis Liew Zun Xin – 212





























