Demi menaikkan kembali kariernya, bekas pemain Harimau Muda A, Mohd Amer Saidin bertekad mahu membuktikan yang dia masih antara pertahanan terbaik dalam saingan Liga Malaysia apabila memilih menyertai PJ City FC, musim ini.

Biarpun terpaksa melupakan apa yang pernah dinikmati di kelab lamanya Johor Darul Ta’zim (JDT) selama lima musim lepas, itu tidak membunuh motivasi Amer untuk mencari sinar baharu dalam kerjaya.

Malah, Amer menegaskan semua pemain perlu bersikap realistik dengan kemampuan diri masing-masing serta tidak boleh bersikap terlalu memilih kerana apa yang lebih mustahak ialah mendapat platform beraksi di Liga Super.

“Semua orang tahu di JDT, kemudahan di sana memang A dan yang terbaik, jadi sekarang saya kena ikhtiar sendiri bagaimana untuk teruskan karier tanpa bersama JDT lagi.

“Namun perkara ini bukan satu masalah besar kerana masa di Harimau Muda, saya telah lalui proses yang sama dan kini saya seolah-olah bermula balik ketika di awal karier, ini pengorbanan yang perlu dilakukan.

“Ada juga peminat tanya soalan dengan pasukan mana saya sedang beraksi, mungkin disebabkan saya bermain di Liga Premier dan ia tidak sama macam Liga Super.

“Malah pada masa sekarang, telah ramai pemain muda sedang meningkat naik dan bukan mudah untuk dapatkan pasukan terutama di Liga Super, jadi ini adalah platform untuk naikkan balik karier dan keyakinan selepas tiga musim di Liga Premier, ” katanya.

Amer merupakan produk Harimau Muda di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee sebelum ini dan dikenali antara prospek pertahanan terbaik ketika mewakili skuad Bawah 23 tahun negara.

Pemain berusia 28 tahun ini bagaimanapun gagal menyinar ketika bersama JDT sejak 2015 sebelum diletakkan di JDT II selama tiga musim bermula 2017.

Tambah pemain yang berasal dari Pulau Pinang ini, dia mengakui kehadiran beberapa rakan yang pernah dikenalinya sejak dahulu seperti Safee Sali dan K Gurusamy menguatkan keyakinannya untuk bersama PJ City.

“PJ City ada ramai muka baharu pada musim ini dan saya lihat kebanyakan pemain muda di sini ada kualiti tersendiri untuk bagi saingan di Liga Super walaupun mungkin ramai kami underdog.

“Faktor Safee dan Gurusamy juga menjadi sebab saya ke sini kerana kami pernah bermain sekali sebelum ini, harap saya akan kembali dapat sentuhan yang diharapkan selepas ini, “ katanya.

- Advertisement -