Khairul Fahmi (kiri) dan Leuniey tersenyum gembira memerhatikan gelagat bayi perempuan mereka.

KEHADIRAN cahaya mata pertama ternyata memberi semangat baru kepada penjaga gawang pasukan kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat untuk terus meningkatkan prestasi semasa bersama Harimau Malaya dan pasukan negeri Kelantan.

Ketika ditemui di kediamannya semalam, Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek, meluahkan perasaan paling gembira dalam hidup apabila isterinya, Leuniey Natasha Nazri, 22, selamat melahirkan seorang bayi perempuan, kelmarin.

Bagaimanapun, pasangan itu masih belum menetapkan nama dan menegaskan masih memikirkan pilihan yang paling sesuai untuk diberikan kepada cahaya mata sulung mereka itu.

Apek berkata, situasi menyambut kelahiran anak pertama memberi satu pengalaman yang cukup besar dan bermakna buatnya, selain perlu mempersiapkan diri untuk memikul tanggungjawab sebagai bapa.

“Saya sangat bersyukur selepas isteri selamat melahirkan cahaya mata pertama dalam hidup kami. Saya sangat gembira, malah ia jauh lebih seronok walaupun dibandingkan dengan perasaan ketika menjuarai piala dalam bola sepak sebelum ini.

“Kehadiran cahaya mata ini cukup bermakna kepada kami sekeluarga dan ia sudah pasti memberi semangat baru buat saya untuk meneruskan kecemerlangan dalam kerjaya selaku pemain bola sepak profesional.

“Ini adalah kali pertama menyambut kelahiran cahaya mata bagi kami berdua dan sesungguhnya, ia cukup memberi pengalaman berharga buat saya sebagai bapa. Bagaimanapun, soal nama masih dalam perbincangan,” katanya.

Leuniey selamat melahirkan bayi seberat 2.75 kilogram (kg) kira-kira jam 3 petang di Hospital Pakar Perdana kelmarin, selepas mendirikan rumah tangga bersama Apek pada Disember 2012.

Selain itu, Apek yang mendapat pelepasan daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk tidak beraksi dalam perlawanan Piala FA menentang Sabah malam ini berkata, kehadiran anak sulungnya itu tidak menghalangnya untuk terus meningkatkan prestasi selaku penjaga gawang utama skuad kebangsaan dan The Red Warriors (TRW).

Sebaliknya, Apek menegaskan ia menjadikannya lebih berdisiplin dalam menguruskan masa antara kerjaya dan tanggungjawab kepada keluarga.

“Memang saya mengakui tanggungjawab saya kini semakin besar selepas bergelar bapa. Namun, ia bukan satu masalah besar untuk saya terus memajukan diri dan memantapkan persembahan.

“Bagi saya, kehadiran anak sulung ini dapat mendidik saya untuk lebih berdisplin dalam membahagi masa dengan baik antara kerjaya dan keluarga.”

Untuk memberi maklum balas, sila emelkan kepada editor@sports247.my

- Advertisement -