SELEPAS kejayaan memberangsangkan pada saingan Kejuaraan “FIA Formula 4 Southeast Asia fuelled by Petron” musim ini, pelumba Malaysia kini berpeluang mencatat kejayaan seterusnya apabila dibariskan untuk merebut beberapa anugerah pada Anugerah Meritus kali ini.

Dianjurkan Promoter acara F4, Meritus.GP, ia merupakan program yang diwujudkan khas oleh promoter Formula 4 SEA dan pasukan MERITUS.GP team untuk mengetengahkan profil  serta ganjaran buat pemandu berbakat.  

Acara berprestij itu meraikan pemandu dan pencapaian terbaik mereka sepanjang musim ini. Para pemandu dinilai berdasarkan prestasi pada lima pusingan Kejuaraan sebelum ini di Malaysia, Thailand dan Filipina.

Pada tahun ini, Anugerah Meritus Award dipersembahkan oleh Petron yang merupakan penaja rasmi bahan api dan minyak enjin bagi Kejuaraan F4 SEA. Acara tahun ini merupakan kali kedua diadakan dan ditunggu dengan penuh debaran oleh pemandu dan mereka yang terbabit dalam Kejuaraan F4 SEA.  Antara bakat-bakat muda pemandu negara yang berpeluang cerah meraih anugerah termasuk Nazim Azman, Adam Khalid, Muizz Musyaffa, Mitchell Cheah, Isyraf Danish dan Alister Yoong.

Di saingan antarabangsa pula, pemandu China Daniel Cao, Kane Shepherd (Thailand), Ugo D Wilde (Belgium), Sam Grimes dan Ben Grimes (Filipina) merupakan antara pilihan utama yang dijangka dijulang untuk memenangi anugerah utama iaitu Anugerah Juara Keseluruhan dan Juara Rookie (Bakat Baru).

Takhta Juara Keseluruhan amat berharga kerana hadir bersekali dengan 12 mata bagi meraih Lesen Super. Kategori lain termasuk Lap Terpantas (Siirkit Sepang, Buriram dan Clark), Pemanduan Terbaik (Best Drive), Pemotongan Terbaik (Best Overtake), Bakat Harapan Terbaik (Up & Coming Talent), Jurutera Terbaik dan anugerah Mekanik Terbaik.

“Selepas kejayaan mengkagumkan bagi musim 2017-18,  kita telah menyaksikan satu persembahan hebat daripada pelumba muda seperti Daniel Cao, Kane Shepherd, Nazim Azman dan beberapa yang lain. Saya amat berbangga dengan kejayaan ini dan berharap anugerah MAGs dapat membantu melonjak dan menonjolkan bakat pelumba Asia selari dengan usaha kita merealisasikan matlamat mengukuhkan ekosistem pemotoran Asia yang sebenar,” kata Peter Thompson, promoter F4 SEA dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Autosport Action (AAA).

Pada Anugerah Gala MERITUS yang pertama kali dianjurkan tahun lepas, Presley Martono dari Indonesia dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Kejuaraan.

“Saya dengan penuh rasa bangganya dan hormat mengumumkan Anugerah Gala MERITUS yang akan meraikan pencapaian mengkagumkan bintang-bintang muda ini,” kata Pengerusi Persatuan Automobil Malaysia (AAM) YM Tunku Mudzaffar Tunku Mustapha. “Formula 4 merupakan penanda aras yang amat berharga dalam proses peralihan pemandu daripada perlumbaan kart kepada perlumbaan formula dan ia telah berjaya memecahkan halangan kewangan dan membuka peluang buat lebih ramai pemandu berbakat untuk meraih impian mereka.”

Ketua Peruncitan Petron Puan Faridah Ali berkata: “Anugerah MERITUS merupakan pengktirafan terhadap usaha gigih para pemandu muda kita yang telah memberikan yang terbaik pada Kejuaraan baru-baru ini. Untuk dua musim, kami telah menjadi rakan F4 selaku penaja rasmi bahan api dan minyak enjin dan kini sekali lagi, kami mengucapkan tahniah kepada mereka di atas kejayaan penganjuran musim ini. Kami berbangga di atas komitmen tinggi dan naluri kompetitif pemandu dan kami berbangga dapat mempersembahkan acara Anugerah ini sebagai penutup bagi satu pengalaman yang amat berharga buat mereka.”

Anugerah Gala MERITUS akan berlangsung pada 8 Jun bertempat di ASTRO All-Asia Broadcast Centre di Bukit Jalil.

 

Kategori Anugerah

Juara Keseluruhan

Bakat Muda (Rookie)

Lap Terpantas (Sirkit Sepang, Buriram dan Clark)

Pemanduan Terbaik

Pemotongan Terbaik (Best Overtake)

Bakat Harapan (Up & Coming Talent)

Jurutera Terbaik

Mekanik Terbaik

- Advertisement -