Jurulatih skuad bolasepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe memanggil seramai 29 pemain untuk latihan pusat pertama kendaliannya menjelang aksi menentang Mongolia pada 22 Mac diikuti Lubnan pada 27 Mac depan.

14 pemain dari Johor Darul Takzim (JDT) mendominasi senarai panggilan kali ini, dengan dua pemain berdarah campuran Natxo Insa dan La’vere Corbin Ong dipanggil buat pertama kali.

Kapten Sabah, Rawilson Batuil dan pemain tengah Kedah, Ariff Farhan Md Isa pula merupakan wajah baru yang diberi peluang oleh Cheng Hoe, manakala penjaga gol Kelantan Khairul Fahmi Che Mat dan pemain tengah PKNS FC Mahali Jasuli pula kembali tersenarai selepas lama tersisih.

Cheng Hoe dilihat mempertaruhkan ramai pemain dari skuad B-23 negara dalam tugasan pertamanya ini antaranya Haziq Nadzli, Norazam Azih, Adam Nor Azlin, Safawi Rasid dan Syahmi Safari selain bintang muda meningkat naik berusia 18 tahun Akhyar Rashid.

Namun begitu, pada ketika keputusan Cheng Hoe menyenaraikan wajah baru dan berpengalaman mendapat maklumbalas positif, dia tidak terlepas dari kritikan apabila ramai mempertikai bagaimana dia boleh menyenaraikan beberapa pemain yang tidak bermain di kesebelasan utama skuad Liga Super dan sekadar pemanas bangku simpanan.

Antaranya adalah Darren Lok, Afiq Fazail dan Syafiq Ahmad selain pemain yang beraksi dengan kelab tercorot Liga Premier, JDT II seperti Nazmi Faiz dan Fazly Mazlan.

Sedangkan JDT sendiri merasakan pemainnya itu tidak cukup bagus dan ‘menolak’ mereka ke bangku simpanan, serta ‘menurunkan pangkat’ mereka untuk bermain bersama pasukan simpanan (reserve team), bagaimana Tan Cheng Hoe merasakan pemain itu bagus untuk disenarai dalam kem kebangsaan?

Lebih mengecewakan, pemain yang bermain tanpa terlepas walau satu pun perlawanan seperti Norhakim Hassan, Nazirul Naim Che Hashim (Perak) dan pertahanan PKNS FC Qayyum Marjoni Sabil (sekadar menyebut beberapa nama) tidak pula dipanggil.

Mereka bukan sahaja bermain setiap perlawanan, tetapi menunjukkan prestasi mantap dan membawa pasukan mereka berada di kedudukan baik – PKNS ketika ini berada di tangga ketiga Liga Super manakala Perak di tangga keenam.

Pahang hanya bolos dua gol dalam liga, dan mereka langsung tiada import di barisan pertahanan namun pertahanan mereka hanya seorang sahaja dipanggil iaitu Matt Davies yang sememangnya sudahpun merupakan wajah lama skuad kebangsaan.

Jadi, apa kriteria penilaian pemain yang digunapakai oleh Cheng Hoe? Bagaimana dia memuktamadkan senarai akhir pemain sehingga boleh menyenarai begitu ramai pemain simpanan dari sebuah pasukan sama sedangkan untuk bermain di pentas antarabangsa, minit bermain seseorang pemain itu adalah sangat penting.

 

Berikut senarai penuh 29 pemain

Penjaga gol: Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Haziq Nadzli (JDT), Hafizul Hakim (Perak)

Pertahanan: Fadhli Shas, Fazly Mazlan, S.Kunanlan, Adam Nor Azlin, Corbin Ong (JDT), Irfan Zakaria (KL), Matt Davies (Pahang), Shahrul Saad (Perak), Kiko Insa (Bangkok Glass), Rawilson Batuil (Sabah)

Tengah: Safiq Rahim, Nazmi Faiz, Afiq Fazail, Natxo Insa (JDT), Akram Mahinan, Ariff Farhan (Kedah), Syazwan Andik Ishak (KL), Norazam Azih (Pahang), Wan Zack Haikal (Felda), Mahali Jasuli (PKNS), Syahmi Safari (Selangor)

Penyerang: Hazwan Bakri, Darren Lok, Safawi Rasid, Syafiq Ahmad (JDT), Akhyar Rashid (Kedah)

- Advertisement -