Berdasarkan prestasi semasa, tonggak PKNS FC, Qayyum Marjoni Sabil boleh disifatkan sebagai salah seorang pertahanan kiri terbaik negara masa kini.

Produk Piala Presiden Kelantan itu sedang memuncak prestasinya – tampil konsisten, agresif dan meyakinkan – maka tidak hairanlah dia mendapat kepercayaan tinggi Datuk K.Rajagobal sebagai nama wajib di benteng pertahanan.

Berusia 24 tahun, Qayyum beraksi dalam semua perlawanan Liga Super di dalam kesebelasan utama, dia hanya direhatkan ketika Rajagobal menurunkan barisan kedua untuk menentang Hanelang FC dalam saingan pusingan kedua Piala FA.

Dia juga merupakan penjaring gol pertama PKNS FC musim ini apabila meledak jaringan ketika menentang Terengganu FC bimbingan Irfan Bakti dan membantu sang semut merah berada di kelompok tiga teratas Liga Super ketika ini.

Namun sayangnya, Tan Cheng Hoe tidak melihat semua itu. Pengendali kebangsaan itu menyenaraikan La’vere Corbin Ong dan pemain JDT II, Fazly Mazlan untuk menjalani latihan pusat skuad kebangsaan menjelang aksi menentang Mongolia (persahabatan) dan Lubnan (kelayakan Piala Asia 2019).

Selain itu, dua pemain B-23 yang dipanggil, Ariff Farhan Mohd Isa dan Syazwan Andik Ishak juga boleh bermain di pertahanan kiri sekaligus bermakna tiada tempat buat Qayyum.

Ketika pemilihan Corbin Ong dilihat tepat, yang menjadi pertikaian hebat para penyokong adalah pemilihan Fazly apatah lagi JDT sendiri merasakan pemain itu tidak cukup bagus dan ‘menolaknya’ beraksi bersama JDT II, pasukan tercorot Liga Premier.

Bagi Qayyum, dia sememangnya berhasrat mahu menyarung jersi negara namun tidak berkecil hati kerana disisihkan. Pemain itu berpendapat Cheng Hoe pastinya ada justifikasi tersendiri terhadap pemilihannya itu.

“Pemilihan coach Cheng Hoe perlu dihormati, mungkin beliau melihat faktor keserasian. Ini tugasan pertama beliau jadi sukar kalau panggil pemain-pemain baru, malah pemain-pemain yang dipanggil itu semuanya bagus dan berpengalaman sama ada bersama skuad senior mahupun B-23.

“Lagipun, saya sendiri masih banyak yang perlu belajar dan perbaiki. Saya perlu lengkapkan diri dengan material sebagai seorang pemain berkualiti barulah saya boleh bercakap tentang berada dalam skuad kebangsaan.

“Mungkin belum tiba masanya, apapun saya tidak akan patah semangat, saya akan terus bekerja keras. Saya percaya jika terus menunjukkan prestasi yang konsisten dan cemerlang, lambat laun akan dilihat oleh panel kejurulatihan.”

Qayyum sebelum ini mewakili negeri kelahirannya Kelantan selama dua musim pada 2016 dan 2017. Sebelum itu, dia mengetuai skuad Piala Presiden Kelantan menjulang Piala Presiden 2015. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -