Kelantan

Oleh Muhammad Aiman

Laungan ‘singkirkan Devan’ kedengaran sekali lagi, kali ini di Stadium Darul Makmur tatkala Kelantan terus meniti prestasi buruk dalam saingan Liga Super, tewas 3-4 kepada Pahang.  

Juara Liga Super 2012 itu menang hanya dua daripada lapan perlawanan musim ini dan pengendali, K.Devan menjadi sasaran kemarahan penyokong tatkala jurulatih berusia 55 tahun itu dikatakan gagal membina keyakinan di kalangan pemain dan mewujudkan suasana harmoni di bilik persalinan pasukan.

Setelah dikritik hebat akibat kecelaruan taktikal serta pemilihan pemain yang disifatkan sebagai mengutamakan ‘anak emas’, kemuncak kepada kemarahan penyokong adalah apabila Devan membuat keputusan mengeluarkan Blaze Ilijoski ketika Kelantan ketinggalan 2-3 kepada Pahang untuk digantikan oleh Khairul Izuan Rosli pada minit ke-74.

Meskipun Khairul Izuan berjaya menyamakan kedudukan 3-3 tiga minit selepas masuk, namun penyokong pada hakikatnya mempertikai tindakan Devan yang memilih untuk mengeluarkan Ilijoski dan bukan pemain kesayangannya, Dramane Traore yang kurang berfungsi di atas padang.

Bukan sahaja penyokong, tetapi tindakan Devan ini turut membawa kepada rasa tidak puas hati Ilijoski yang langsung tidak bersalam atau memandang wajah Devan sebaik dikeluarkan, sekaligus membawa kepada persoalan selama mana karier bekas pengendali Selangor dan Negeri Sembilan itu mampu bertahan di Kota Bharu.

Kritikan yang dilontar terhadap Devan bukanlah sesuatu yang baru, ia bermula sejak awal musim lagi sejurus dia dilantik menggantikan pengendali sementara, Zahasmi Ismail di mana penyokong mempersoal kredibiliti Devan yang tidak mempunyai pencapaian yang baik sejak meninggalkan Selangor pada 2011.

Devan bagaimanapun meminta penyokong meletak kepercayaan ke atasnya dan memberikannya masa untuk memulihkan semula reputasi Kelantan selaku pasukan elit namun situasi tampak bertambah buruk dengan Kelantan ketika ini hanya tiga mata di atas zon penyingkiran dan ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu liga Felda United.

Ini mendorong kepada desakan yang lebih hebat untuk menyingkirkan Devan – skrip lazim di kem Kelantan sejak beberapa tahun kebelakangan untuk menukar 2-3 jurulatih semusim. Pada 2014 mereka menggunakan khidmat Steve Darby, Hashim Mustapha dan George Boateng manakala pada 2015 mereka menggunakan khidmat Boateng, Azraai Khor dan Zahasmi. 

Namun, adakah wajar Devan memikul tanggungjawab berseorangan di atas situasi yang melanda pasukan TRW ketika ini. Bagaimana pula dengan pemain yang tidak langsung menunjukkan prestasi setaraf gaji tinggi berpuluh ribu ringgit yang mereka terima sebaliknya sekadar beraksi sambil lewa di atas padang.

Ada yang mengatakan mereka hanya beraksi pada potensi sebenar apabila dibayar bonus lumayan sepertimana ketika menentang JDT, ada yang mengatakan ia adalah konspirasi ataupun pakatan untuk menyingkirkan Devan, tetapi apa sekalipun alasannya, wajarkah pemain mengkhianati majikan, mengkhianati penyokong dengan menampilkan aksi longlai?

Kelantan sudah sedia diketahui dihimpit pelbagai isu sebelum ini terutamanya tunggakan gaji dan kebajikan pemain, justeru pengurusan juga perlu memainkan peranan dan lebih bertanggungjawab jika mahukan yang terbaik dari pemain – bukannya sekadar melepas tangan dengan menjawab ‘dah takde duit nak buat macam mana’.  

- Advertisement -