Pelumba pasukan RCB Accentwire Yamaha YYPang Racing, Mohd. Adib Rosley tampak masih bergelut untuk mencari rentak diPusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2019 yang akan bermula di Litar Suzuka, Jepun esok.

Sesi latihan bebas yang bermula hari ini, Adib melakar 2:42.417 saat untuk berada dikedudukan ketujuh keseluruhan ketika sesi pagi manakala catatannya lebih baik, 2:39.590 saat namun hanya mampu mengisi kedudukan ke 14.

Adib masih menaruh harapan untuk menamatkan penantian menaiki podium selaku pemenang di Jepun minggu ini.

“Saya sudah lama tidak merasai penyudah podium pada kejuaraan di perigkat Asia. Kali ini. Saya bertekad untuk menamatkan penantian tersebut,’kata Adib. 

Adib yang bersaing dalam kelas Underbone 150 (UB150) menduduki tangga ke 18 dengan 10 mata berjaya diraih dalam senarai kedudukan pelumba selepas mengharungi dua pusingan setakat ini.

Tambahnya lagi, setelah sekian lama tidak merasai penyudah podium di peringkat ARRC, ia telah mendorongnya untuk bekerja lebih keras lagi agar sasarannya musim ini dapat direalisasikan.

Aksi pembuka tirai di Sepang pada Mac lalu, nasib Adib tidak begitu baik kerana gagal meraih sebarang mata pada Perlumbaan 1, namun bangkit di Perlumbaan 2 untuk mengumpul 3 mata selepas menamatkan saingan di tempat ke-13.

Dia semakin menunjukkan peningkatan pada Pusingan 3 di Buriram apabila berjaya menduduki tempat kesembilan pada Perlumbaan 1 untuk meraih 7 mata.

Namun, nasib sekali lagi tidak memihak kepadanya apabila dikenakan penalti pada Perlumbaan 2, sekali gus gagal meraih sebarang mata.

“Apa yang sudah berlaku itu sudah menjadi sejarah dan saya harus melangkah ke hadapan. “Saya akan menampilkan yang terbaik pada saingan di Suzuka ini dengan harapan dapat merasai penamat podium. Kalau gagal, sekurang-kurangnya saya tetap meraih mata,” jelas Adib.

Sepanjang pembabitannya di ARRC, pencapaian terbaik yang pernah dilakar oleh Adib adalah menduduki tempat keempat kelas UB150 pada musim 2016.

 

- Advertisement -