Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mempertahankan keputusan memanggil serta mengekalkan beberapa pemain yang tidak menunjukkan prestasi memuaskan dalam Liga Malaysia untuk menyarung jersi Harimau Malaya bagi aksi persahabatan menentang Maldives 3 November depan yang juga persiapan terakhir sebelum beraksi di Piala AFF Suzuki 2018.

Antara pemain yang dipertikai pemilihannya adalah seperti Syazwan Zainon, Zaquan Adha Abdul Radzak, Akram Mahinan, D.Kenny Palraj serta Syamer Kutty Abba tatkala nama pemain-pemain yang lebih menyerlah seperti Muslim Ahmad (Pahang), Faiz Nasir (Terengganu), Brendan Gan (Perak) dan Natxo Insa (Johor Darul Takzim) tidak tersenarai.

Syazwan dan Akram diketahui tidak mengharungi musim yang baik bersama Kedah malah prestasi mereka juga jatuh mendadak manakala Syamer pula merupakan pemain simpanan di JDT dan statistik menunjukkan sepanjang tiga bulan terakhir hanya bermain 62 minit secara keseluruhan.

Tetapi bagi Cheng Hoe, dia menegaskan bahawa sudah mempunyai perancangan tersendiri dengan pemain-pemain ini dan semua pemain yang disenaraikan ini adalah yang menepati citarasanya malah sebenarnya sudah mempunyai bayangan skuad yang akan bermain di AFF Suzuki nanti.

“Mereka yang disenaraikan ini adalah yang terbaik bagi setiap posisi yang diperlukan dan sesuai dengan taktikal serta corak permainan yang akan saya terapkan.

“Tetapi ini bukanlah bermakna pemain yang tidak terpilih itu tidak bagus, jadi saya berharap mereka tidak berputus asa dan akan bekerja keras kerana saya sedia untuk memberi peluang kepada mereka menyertai tugasan antarabangsa selepas ini,” ujarnya.

Cheng Hoe juga menjelaskan perlawanan menentang Maldives akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperkasa keserasian dan persefahaman antara pemain selain berharap dapat menemui gandingan terbaik untuk dipertaruhkan.

Terdahulu pada Isnin, Cheng Hoe mengumumkan senarai 26 pemain bagi latihan pusat skuad Harimau Malaya di Universiti Sains Islam Malaysia bermula Rabu.

Daripada senarai tersebut, lima pemain daripada skuad menentang Sri Lanka dan Kyrgyzstan tempoh hari digugurkan iaitu Mathew Davies, Fazly Mazlan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Mahali Jasuli dan Haziq Nadzli manakala lapan pemain kembali ke dalam skuad iaitu Farizal Marlias, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Azrif Nasrulhaq Nadrul Hisham, Safawi Rasid, Shafiq Ahmad dan Ahmad Hazwan Bakri; pemain tengah Pahang Nor Azam Azih serta pemain pertahanan Perak, Nazirul Naim Che Hashim.

Cheng Hoe akan mengumumkan senarai akhir 23 pemain skuad Piala AFF Suzuki selepas perlawanan menentang Maldives. MUHD AIMAN 

- Advertisement -