Perlawanan kedua di laman sendiri, Malaysia tidak mempunyai misi lain selain memastikan kemenangan dengan jumlah gol yang berbeza berbanding aksi sulung menentag Kemboja pada 8 November lalu.

Penguasaan awal dipamer anak didik Tan Cheng Hoe yang mempunyai peluang terbaik menerusi Safawi Rasid diawal permainan, namun rembatannya terbias pemain pertahanan lawan sebelum melepasi palang gol.

Penyokong Kuning Hitam tergamam seketika di minit ke lapan apabila sepakan percuma Phithack Kongmathilath terus ke penjuru kanan gawang Malaysia sekaligus gagal ditepis Khairul Fahmi Che Mat untuk Laos didepan 1-0.

Kedudukan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Malaysia menyamakan kedudukan di minit 14 menerusi penyudah kapten, Zaquan Adha Abd Razak yag meyudahkan hantaran silang Muhd Syahmi Safari.

Cerita yang sama seperti di Phnom Penh apabila deretan peluang terhidang terus gagal diterjemahkan ke dalam bentuk jaringan.

Ditambah dengan 10 pemain skuad kendalian V Sundramoorthy yang lebih banyak berkampung di kubu sendiri menambahkan lagi kesukaran pemain pemain negara untuk mengucar kacirkan pertahanan pelawat.

Kemasukkan Akhyar Rashid yang menggantikan Muhd Syazwan Zainon tampak mengubah tempo permainan Harimau Malaya dibahagian serangan.

Gerakannya bersama Norshahrul Idlan Talaha hamper menghasilkan gol, namun percubaannya terkena pemain pertahanan di minit 54.

Satu lagi peluang terhidang untuk Malaysia hadir dua minit berselang, hantaran Safawi Rasid tepat ke Muhd Syafiq Ahmad namun, tandukkannya melewati palang gol.

Minit 58, Safawi Rasid hampir meletakkan Malaysia didepan namun rembatan dari luar kotak penalti ditepis Outthilath Nammakhot.

Dua peluang terbaik Malaysia hadir di minit 67, bermula dengan tandukkan Aidil Zafuan yang sekadar menggegar palang susulan sepakan sudut Syazwan Andik sebelum hantaran Akram Mahinan disambar Ahmad Hazwan Bakri namun bola sekadar bergolek melepasi pintu gol lawan.

Akhyar sekali lagi mencuri tumpuan apabila melepasi pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan, Outhhilath sekali lagi menafikan hasrat Malaysia untuk mendahului saingan.

Tekanan kian memuncak ketika perlawanan berbaki 15 minit menuju penamat, deretan peluang terus dijelmakan Harimau Malaya, namun pertahanan Laos kental bertahan.

Sorakan Harimau Malaya bergema apabila Norshahrul Idlan Talaha memanfaatkan peluang terhidang apabila menyumbat dua gol di penghujung perlawanan sekaligus meranapkan impian Laos untuk mencuri mata di Bukit Jalil.

Mat Yo meletakkan Malaysia di depan 2-1 di minit 86 susulan aksi kelam kabut di dalam kotak penalti Laos sebelum melengkapkan kemenangan mutlak Malaysia 3-1 ketika permainan memasuki masa tambahan untuk memastikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe meraih enam mata maksima selepas dua perlawanan.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan A, Myanmar membuka kempen kumpulan A dengan kemenangan bergaya 4-1 ke atas Kemboja. KU MOHD LUFTI 

 

- Advertisement -