aff16_161122_ts_press_mys_training_017

Oleh Muhammad Aiman

Jadikan perlawanan menentang Kemboja sebagai pengajaran dan jangan ulang kesilapan sama, itu tegas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee menjelang aksi kedua Kumpulan B Piala AFF Suzuki menentang Vietnam petang ini.

Malaysia dikerah bekerja keras untuk bangkit dua kali daripada ketinggalan sebelum mencatat kemenangan 3-2 ke atas Kemboja pada aksi pembukaan, justeru Kim Swee berharap aksi menentang Vietnam nanti pasukannya bukan sahaja lebih ampuh di barisan pertahanan, tetapi menjadi pasukan pertama menjaringkan gol.

“Ianya bagus apabila melihat mereka tunjukkan karakter untuk bangkit dua kali dalam di bawah cuaca panas untuk menewaskan Kemboja, tetapi ia sudah berlalu. Kita perlu memandang ke depan dan kita perlu melakukan yang lebih baik berbanding menentang Kemboja.

“Saya tidak mahu kita sekali lagi terpaksa bekerja keras untuk kembali dalam permainan, Vietnam bukan lawan mudah, pasukan yang jauh berbeza dan telah banyak meningkat. Mereka juga hadir ke kejohanan ini dengan persiapan rapi.

“Saya juga berharap kali ini kita akan menjaringkan gol pertama perlawanan selepas tiga perlawanan berturut-turut bangkit dari ketinggalan,” kata Kim Swee.

Tambah pengendali berusia 45 tahun itu, “Ada kelemahan yang kita nampak dari perlawanan menentang Kemboja. Vietnam adalah sebuah pasukan yang seimbang di segenap posisi dan saya akan membuat sedikit rombakan. Kita mempunyai skuad 23 pemain yang mana kesemua mereka boleh menyumbang kepada pasukan.” 

Pada perlawanan Ahad lalu, Kemboja dua kali mendahului menerusi jaringan Chan Vathanaka tatkala Harimau Malaysia membalas menerusi Syazwan Zainon dan dua jaringan pemain veteran Amri Yahyah sekaligus mengelak diaibkan lawan yang dianggap paling lemah dalam Kumpulan B itu.

Manakala Vietnam membuktikan reputasi selaku pasukan pilihan dengan menewaskan tuan rumah Myanmar, 2-1 hasil jaringan kemenangan 10 minit sebelum tamat permainan, sumbangan Le Cong Vinh.

Ini membolehkan kedua-dua pasukan mengumpul tiga mata dan pemenang perlawanan ini akan mencerahkan peluang untuk melangkah ke separuh akhir. 

Untuk rekod, pertemuan terakhir di antara kedua-dua pasukan menyaksikan Malaysia menang 4-2 di separuh akhir Piala AFF Suzuki 2014 sekaligus menyingkirkan Vietnam dengan agregat 5-4 justeru pengendali pasukan yang digelar ‘the golden stars’ itu, Nguyen Huu Thanh menyifatkan pemainnya membara mahu menebus kehampaan lalu.

“Kami telah bersedia untuk turun dapatkan keputusan terbaik. Apa sekalipun keputusannya, kami akan meninggalkan padang dengan bermaruah. Bermain pada jam 3 petang, bukan mudah dan kami perlu sesuaikan diri dengan cepat. Malaysia telah melaksanakan tugas mereka dengan baik ketika menentang Kemboja dan moral mereka pastinya dalam keadaan baik,” kata Nguyen.  

- Advertisement -