aff16_161122_ts_press_mys_training_004

Oleh Muhammad Aiman

Menjelang aksi kedua Piala AFF Suzuki menentang Vietnam, ketua pasukan, Amri Yahyah menggesa rakan sepasukan agar tidak terlalu memikirkan cakap-cakap sebelum perlawanan yang berpendapat Malaysia bukan tandingan pasukan itu.

Skuad negara bakal turun sebagai underdog berdepan pasukan pilihan Kumpulan B itu yang menewaskan tuan rumah, Myanmar dalam aksi pembukaan namun Amri mahu mereka mengetepikan rasa gentar dan menampilkan prestasi terbaik bagi mendapatkan keputusan yang diperlukan.

ā€œKami akan bermain untuk menang, kemenangan kedua akan menjadikan harapan kita ke separuh akhir lebih cerah. Kita tahu Vietnam sebuah pasukan berbahaya tetapi tidak perlu memikirkan mengenai kelebihan mereka.

ā€œLebih penting kami semua fokus perbaiki apa yang kurang. Jurulatih juga telah mempersiapkan kami dengan taktikal sesuai untuk menghadapi cuaca panas serta menangani serangan Vietnam,ā€ kata Amri yang menjaringkan dua gol untuk membantu Malaysia menewaskan Kemboja pada perlawanan pembukaan.

Ketika perlawanan tempoh hari, Harimau Malaysia tampak goyah khususnya di benteng terakhir apabila beberapa kesilapan pertahanan membawa padah sehingga mereka hampir diaibkan Kemboja justeru Datoā€™ Ong Kim Swee dijangka melakukan sedikit rombakan pada kesebelasan utamanya.

Situasi ini bermakna kemungkinan besar pemain pertahanan veteran, Ronny Harun ataupun Nazirul Naim Che Hashim akan mengambil alih tempat Matthew Davies yang kurang efektif dan membentuk gandingan bersama Shahrom Kalam, Shahrul Saad dan Rizal Ghazali manakala Khairul Fahmi Che Mat terus diberi kepercayaan menjaga gawang.

Selain Matthew, pemain lain yang dilihat tidak begitu menyerlah ketika menentang Kemboja adalah Irfan Fazail yang bergandingan dengan Baddrol Bakhtiar di tengah dan sepatutnya berperanan sebagai ā€˜enjinā€™ utama pasukan dan membantu merencanakan gerakan-gerakan berbahaya.

Andai Irfan digugurkan dari kesebelasan, pemain lain yang berpotensi mengambil alih tempatnya adalah pemain versatile, Ahmad Fakri Saarani.

Di barisan depan, hampir pasti, sandaran Kim Swee adalah sekali lagi terhadap gandingan baru dibentuk, Ahmad Hazwan Bakri dan Darren Lok namun kemungkinan untuk Norshahrul Idlan Talaha diturunkan juga ada kerana pengendali itu dilihat mempunyai beberapa alternatif untuk dipertaruhkan.

Kemenangan pada perlawanan ini akan meletakkan Malaysia mahupun Vietnam di landasan terbaik untuk melangkah ke peringkat separuh akhir. Ā 

- Advertisement -