Kemenangan tipis 1-0 ke atas Kemboja dalam aksi pembukaan Piala AFF Suzuki 2018 ternyata masih belum cukup untuk memberi satu kepuasan kepada penyokong yang ingin menyaksikan permainan lebih mantap dari Harimau Malaya.

Justeru aksi kedua menentang Laos pada Isnin di Stadium Nasional Bukit Jalil dilihat sebagai peluang terbaik untuk pasukan negara bangkit menyerlahkan kekuatan sebenar dan tampil dengan kualiti permainan yang jauh lebih bertenaga di hadapan penyokong sendiri.

Kesilapan-kesilapan yang dilakukan ketika menentang Kemboja tidak lagi boleh diulangi, setiap kelemahan perlu segera diperbaiki oleh Tan Cheng Hoe dan barisan pembantunya.

Yang paling nyata adalah masih kurangnya persefahaman dan komunikasi antara pemain, kurangnya kreativiti dan tiada variasi untuk mencipta serangan, hantaran-hantaran yang tiada arah tuju, pertahanan yang mudah ditembusi dan ketumpulan sentuhan penyudah.

Jika semua itu dikatakan kerana ianya baru perlawanan pertama, belum mendapat rentak, bermain di padang tiruan serta permukaan padang yang teruk malah ada tanggapan sang harimau sengaja menyimpan kuku, menentang Laos nanti adalah peluang terbaik membuktikan bahawa semua itu bukan alasan yang direka untuk menutup kepincangan semata-mata.

Walaupun kita akui bahawa dalam pertandingan seperti ini meraih tiga mata adalah agenda paling penting, tetapi penyokong yang membanjiri stadium sudah tentunya tidak mahu disajikan dengan permainan hambar dan membosankan.

Boleh dikatakan semua penyokong yang hadir nanti mempunyai keyakinan tinggi betapa Malaysia tidak akan berdepan masalah besar untuk menewaskan Laos, apatah lagi skuad bimbingan V.Sundramoorthy itu bermula dengan langkah kiri tewas 0-3 kepada Vietnam.

Jadi apa yang dituntut mereka dalam aksi ini nanti adalah Zaquan Adha Abdul Radzak dan rakan-rakan menterjemahkan kredibiliti Malaysia selaku pencabar kejuaraan dan sebuah pasukan yang wajar disegani, diyakini boleh melangkah jauh.

Tidak perlu ada istilah harimau simpan kuku, jika benar kuku itu tajam, maka cakarlah lawanmu dengan penuh keghairahan dan mengaumlah tunjukkan taringmu duhai Harimau Malaya – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -