Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum berlangsungnya Piala AFF Suzuki 2018, kejohanan bolasepak terbesar di rantau Asia Tenggara yang memasuki edisi ke-12 penganjuran.

Sejauh mana anda mengetahui tentang pencabar-pencabar di kejohanan dwitahunan ini? Kami membantu anda mengenali dengan lebih baik pasukan yang mengambil bahagian.

Laos

Laos beraksi di 10 edisi pertama Piala AFF Suzuki dari 1996 – 2014 tanpa mampu untuk melangkah melepasi halangan peringkat kumpulan dan mereka sinonim sebagai pasukan belasahan dalam pertandingan ini.

Penampilan terburuk mereka adalah pada 2007 apabila melepaskan sejumlah 23 gol dalam hanya tiga perlawanan termasuklah kekalahan 0-11 di tangan Singapura dan 0-9 di tangan Vietnam.

Mereka hanya pernah menang dua perlawanan sahaja di Piala AFF Suzuki iaitu sekali pada 1996 dan sekali pada 2004, kedua-dua edisi tersebut menyaksikan mereka berada dalam kumpulan lima pasukan.

Pada 2016 rekod mereka bertambah buruk apabila buat pertama kalinya gagal melayakkan diri setelah kandas di pusingan kelayakan.

Format baru 10-pasukan yang diperkenalkan tahun ini membantu Laos kembali ke dalam pertandingan ini dan di bawah kendalian jurulatih terkemuka dari Singapura, V.Sundramoorthy mereka nampaknya cukup bermotivasi tinggi mahu memberikan tentangan sengit.

Jadi, apakah nasib mereka akan lebih baik dan satu sejarah baru akan dapat disaksikan pada edisi kali ini? Untuk mereka layak ke separuh akhir mungkin masih merupakan satu sasaran yang jauh dari jangkauan, tetapi Sundramoorthy membawa pengalaman luas dan dia pastinya akan menerapkan ‘winning mentality’ ke dalam skuad dan memastikan Laos bukan lagi sebuah pasukan pelengkap jadual semata-mata.

Laos yang diundi di dalam Kumpulan A akan membuka tirai saingan dengan menentang Vietnam di gelanggang sendiri pada 8 November sebelum bertandang ke Bukit Jalil untuk perlawanan menentang Malaysia pada 12 November.

Mereka kemudiannya akan menentang Vietnam di gelanggang sendiri pada 16 November sebelum menutup aksi kumpulan dengan menentang Myanmar di tempat lawan pada 20 November.

Pemain tumpuan :

Khonesavanh Sihavong – salah seorang pemain paling berpengalaman dalam skuad Laos. Pentas Piala AFF Suzuki bukan sesuatu yang asing baginya malah dia pernah menjaringkan gol ketika menentang Malaysia pada 2012. Pemain tengah ini telahpun mengukuhkan pengaruhnya sejak beberapa tahun kebelakangan dan merupakan tonggak utama pasukan.

Phouttasay Khocalern – Sama seperti Khonesavanh, Phouttasay juga mempunyai pengalaman bermain di Piala AFF Suzuki di mana dia pernah membuat penampilan pada 2014 ketika usianya baru 18 tahun. Pemain yang mantap secara teknikal mahupun taktikal, sandaran utama Laos untuk memenangi penguasaan bola di tengah padang.

Soukchinda Natphasouk – penyerang yang semakin meningkat naik, walaupun masih mentah di pentas antarabangsa, Soukchinda telah membuktikan dia boleh bermain dalam tekanan dan tidak gugup apabila bermain di level tinggi. Pasukan yang memiliki pertahanan terbaik sekalipun perlu berhati-hati dengan ancaman pemain ini. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -