Pemain pertahanan kanan Harimau Malaya Syahmi Safari mungkin menjadi sasaran kritikan andai penyerang Thailand Adisak Kraisorn menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan ketika pertembungan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 pada Rabu lalu.

Sepakan itu dihadiahkan pengadil Adham Mohammed Tumah Makhadmeh selepas bola terkena tangan pemain Selangor itu yang lantas menyaksikannya turut dilayangkan kad kuning kedua dan diperintah keluar padang.

Dalam aksi berlangsung di Stadium Rajamangala Bangkok itu, Syahmi terlebih dahulu mencuri tumpuan menerusi gol cantik yang mengikat kedudukan 1-1 hasil rembatan jarak jauh menewaskan Chatchai Budprom di gawang Thailand pada minit ke-28.

Menceritakan detik tersebut, Syahmi berkata pada saat itu dia tidak boleh menerima hakikat telah melakukan sesuatu yang membunuh impian dan merosakkan kegembiraan jutaan penyokong Harimau Malaya yang sudah siap sedia meraikan kemenangan.

“Saya tak tahu nak kata apa, rasa nak menangis pun ada. Kita masa tu kurang seminit nak layak ke final, saya nampak penyokong sudah bersorak menanti wisel penamat. Apabila pengadil meniup wisel menunjuk ke arah tanda penalti, saya terdiam, saya tahu saya sudah kecewakan semua orang. Saya dah bunuh impian semua dengan satu kesilapan itu.

“Saya berdoa dan sangat mengharapkan Farizal (Marlias) akan selamatkan sepakan itu. Tetapi apabila melihat bola melambung keluar saya seolah mati hidup semula, ia perasaan yang saya tidak boleh bayangkan. Saya begitu hampir menjadi petualang,” ujar Syahmi.

Tambah pemain berusia 20 tahun itu, “Saya berterima kasih kepada jurulatih, rakan sepasukan malah penyokong yang memberikan saya motivasi dan ianya satu pengajaran berguna kepada saya. Saya akan belajar dari kesilapan ini dan bangkit menjadi lebih baik.”

Sebagai rekod Syahmi telah beraksi dalam kesemua enam perlawanan, bukan sahaja membantu pertahanan bermain dengan lebih terbuka malah cemerlang membentuk gandingan dengan Mohamadou Sumareh di sebelah sayap kanan dan beberapa kali melakukan larian membantu merencana serangan.

Setelah tampil sebagai tonggak dalam laluan Harimau Malaya ke final, pemain ini akan terlepas aksi final pertama menentang Vietnam yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 Disember ini namun boleh diturunkan dalam aksi kedua pada 15 Disember. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -