Pengerusi Institut Sukan Negara, Dato’ Seri Azim Mohd Zabidi belum pasti sama ada akan bertanding untuk merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meskipun namanya dicalonkan untuk mencabar kerusi nombor satu FAM itu oleh Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

Menurut Azim, dia bersetuju namanya dicalonkan PBNP dan berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan namun menjelaskan banyak faktor yang perlu diambil kira sebelum membuat keputusan untuk menyahut cabaran tersebut.

“Ini adalah satu tanggungjawab besar tetapi untuk bertanding saya perlu tengok siapa yang sedia sokong saya. Saya perlu dapatkan pandangan persatuan negeri, mendengar dulu apa kata mereka. Setakat ini ada dua negeri berminat memberikan sokongan tetapi adakah itu mencukupi?

“Saya ada hubungan baik dengan beberapa persatuan negeri walaupun tidak semua jadi benda ini perlu dibincangkan dulu. Andai dipilih saya sedia menggalas tanggungjawab, saya tidak ada masalah untuk bekerja dan boleh membahagikan masa,” kata Azim yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Kredibiliti Azim pada hakikatnya diragui kerana tiada pengalaman dalam bolasepak dan belum ada pencapaian membanggakan dalam arena sukan malah Program Podium di bawah seliaan ISN juga dikritik hebat kerana prestasi hambar atlet. Selain itu, Azim juga merupakan ketua kontijen Sukan Asia ke Jakarta Ogos depan jadi dikhuatiri dia tidak akan dapat memberi fokus penuh kepada FAM.

Azim akan menentang dua tokoh yang tidak asing lagi dalam arena bolasepak tempatan iaitu Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Amin dan bekas presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa.

Hamidin mendapat 18 pencalonan dari ahli gabungan manakala Annuar pula dicalonkan pada hari terakhir pencalonan pada Jumaat oleh Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -