Penyerang Kuching FA yang juga bekas pemain kebangsaan, Joseph Kalang Tie, mendedahkan legenda Pahang di penghujung era 90-an dan awal tahun 2000, Azizul Kamaluddin, merupakan pemain yang paling diminati serta banyak memberikan pengaruh terhadap dirinya bagi menjadi seorang pemain bola sepak profesional.
Maka tidak hairanlah mengapa Joseph pernah memilih nombor 12 sebagai pilihannya ketika mewakili Terengganu pada musim 2008 hingga 2011 walaupun kini dia lebih banyak menggunakan nombor 19 bersama pasukan-pasukan lain.
Bertambah menarik, Joseph mengakui dia terkilan belum pernah menemui pemain yang jadi pujaannya itu sehingga sekarang walaupun pernah tinggal di Kuantan pada tahun 2018 ketika menyarung jersi Pahang.
âSejak di sekolah rendah lagi, kalau main bola, dalam hati ini, saya akan kata mahu jadi macam Azizul Kamaluddin dan itulah selalu saya berikan semangat tiap kali turun beraksi sehinggalah ke zaman profesional.
â Apa yang buat saya suka sangat dengan Azizul ialah dia ada karakter tersendiri yang saya susah hendak nampak kepada pemain lain dan menjadikan dia seseorang yang istimewa di mata saya.
â Dia punya sentuhan pertama dengan bola cukup baik malah tahap penyudahnya cukup berkesan sehingga dia mampu bersaing dengan penyerang import lain pada waktu berkenaan.
â Walaupun saya tidak pernah beraksi dengannya, terus terang saya mahu berjumpa dengannya namun hajat itu belum kesampaian malah semasa di Pahang, niat itu juga tidak kesampaian dan harap mungkin ada rezeki pada lain kali, â katanya.
Azizul merupakan salah seorang pemain yang tersenarai dalam Best XI Joseph yang turut menyenaraikan tiga bekas rakan sepasukannya di Terengganu, Sharbinee Allawee, Zubir Azmi dan Ashari Samsudin.
Melengkapkan senarai pemain di posisi pertahanan ialah Razman Roslan, Jelius Ating dan S. Kunanlan manakala barisan tengah selain Ashari terdiri daripada Safawi Rasid, B. Rajinikandh dan Safiq Rahim.
Penyerang PJ City, Safee Sali menjadi pilihan Joseph untuk digandingkan bersama Azizul Kamaluddin.
Seorang lagi pemain yang dihormati Joseph ialah penolong ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating yang pernah menjadi rakan sepasukan ketika di PDRM pada usia 20 tahun.
Bagi Joseph, Jelius yang merupakan seorang pertahanan tengah sememangnya seorang pemain yang punyai ciri-ciri kepimpinan dan tidak kedekut ilmu kepada pemain-pemain muda.
âJelius bagi saya adalah pemain yang wajar dihormati kerana di atas padang semasa saya bermain dengan dia dulu, saya selalu mendapat banyak tunjuk ajar daripadanya.
âMalah, dia masih antara pemain pertahanan tengah yang terbaik pernah saya jumpa kerana dia punyai segala-galanya daripada segi pembacaan permainan dan punyai corak permainan yang keras serta sentiasa beri kesukaran kepada mana-mana penyerang, â katanya.