Pasukan B-22 negara yang sedang dalam persiapan menghadapi pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 bulan depan tampil garang untuk mencatat kemenangan besar 8-2 ke atas pasukan Liga FAM, PJ Rangers dalam aksi persahabatan di Wisma FAM, pada Sabtu.

Ia adalah perlawanan pertama skuad Dato’ Ong Kim Swee sejak mula menjalani latihan pusat pada 27 November lalu namun jauh di sudut hati pengendali itu, dia belum berpuas hati kerana berpendapat masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki.

“Keputusan perlawanan tidak boleh dijadikan pengukur, saya perlu menilai banyak aspek antaranya kecergasan dan stamina mereka, keserasian antara pemain baru dan lama. Saya memberi setiap pemain peluang beraksi sekurang-kurangnya 45 minit supaya semua merasai minit bermain.

“Dari apa yang saya lihat, memang kecergasan belum di tahap terbaik, perlu ditingkatkan. Mungkin pada perlawanan seterusnya (menentang Melaka United) minggu depan saya boleh beri mereka bermain lebih lama sebelum memutuskan senarai akhir,” katanya selepas tamat perlawanan.

Gol-gol buat pasukan negara pada perlawanan itu dijaringkan penyerang muda Pahang R.Kogileswaran yang meledak hatrik, manakala pemain berusia 18 tahun Johor Darul Takzim II, Hadi Fayadh Abdul Razak menjaringkan dua gol.

Tiga lagi gol dijaringkan Safawi Rasid, Jafri Firdaus Chew dan Sean Eugene Selvaraj sementara gol buat PJ Rangers Arif Anwar dan Izat Ikmal Azpawi.

Sebagai makluman, skuad negara akan terbang ke Mokpo, Korea Selatan pada 17 Disember ini dan menjalani latihan pusat selama dua minggu di sana, disusuli latihan pusat selama lapan hari di Nanjing, China sehingga 6 Januari depan.

Aksi pertama Malaysia di pusingan akhir yang berlangsung di Changshu dan Kunshan adalah menentang Iraq pada 10 Januari, diikuti Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari).OLEH MUHD AIMAN 

 

 

- Advertisement -