Hasrat Kelantan Warriors untuk menjadi pasukan pertama meleburkan rekod tanpa kalah juara bertahan Penang Black Panthers dalam saingan Sepaktakraw League (STL) Premier 2018 tidak kesampaian setelah kecundang 0-2 dalam aksi berlangsung di Gem In Mall, Cyberjaya pada Jumaat.

Turun dengan keyakinan tinggi, Kelantan Warriors pada satu ketika dilihat mampu untuk melakar kejutan sepertimana dilaungkan sebelum perlawanan apabila mendahului 20-17 di set pertama tetapi trio Farid Aziz-Aidil Aiman Azwawi-Yuslie Jusoh gagal memanfaatkan kelebihan itu dan membenarkan Black Panthers bangkit melakar kemenangan 23-21.

Set kedua kemudiannya menjadi lebih mudah buat Black Panthers yang menurunkan trio Said Ezwan Said De-Zaim Razali-Aiman Haiqal Naim sebagai regu permulaan untuk melakar kemenangan 21-15.

“Ketika ketinggalan di set pertama saya tetap yakin dengan pemain saya, kita cari kelemahan pasukan Kelantan sama ada melalui pertahanan mahupun serangan dan memanfaatkannya. Kedua-dua pasukan ada peluang (untuk menang) tetapi ianya mengenai siapa yang ambil dulu peluang tersebut.

“Sebagai contoh apabila tekong dia buang mata, fokus hilang dan ianya berjangkit kepada pemain lain yang memberikan mata-mata mudah. Jadi apabila kita tahu kelemahan mereka, kita perkasakan pertahanan dan memanfaatkan kelemahan tersebut,” kata Helmi Ismail, jurulatih Black Panthers.

Kemenangan keempat berturut-turut meletakkan Penang Black Panthers yang merupakan juara dua kali unggul menerajui carta STL Premier dengan lapan mata. Mereka selepas ini akan menentang ATM Guardians pada Ahad.

Sementara itu bagi jurulatih Kelantan Warriors, Roslan Ismail pula dia menyifatkan tindakan lambat di dalam membuat keputusan penting antara punca utama kekalahan pasukannya.

“Kita menurunkan regu terkuat hari ini setelah meneliti prestasi minggu lalu tetapi apabila satu kesilapan dibuat dengan servis sangkut, libasan dihalang maka ia menjejaskan moral pemain dan menyebabkan mereka membuat kesilapan demi kesilapan.

“Killer kita (Yuslie) juga agak penat dan saya lambat mengeluarkan dia, sepatutnya pertukaran dibuat lebih awal, kita akan belajar dari kesilapan ini dan bangkit semula dalam perlawanan menentang KL Thunder pada Ahad,” kata Roslan.

Dalam aksi lain, Johor Tigris bangkit daripada dua kekalahan sebelum ini untuk melakar kemenangan pertama dengan menewaskan Selangor Pistons 2-1.

Johor Tigris tewas set pertama 18-21 tetapi menang mudah pada set kedua 21-7 dan memuktamadkan kemenangan dengan kemenangan 21-18 pada set penentuan.

Kuala Lumpur Thunder pula mengekalkan permulaan sempurna dengan melakar kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan Melaka Titans 2-1 2-1 (24-22, 17-21, 21-11) manakala ATM Guardians mencatat kemenangan kedua dengan menewaskan Perak Bison 2-0 (21-13, 21-14). MUHD AIMAN 

 

Keputusan (12 Oktober) :
KL Thunder mng Melaka Titans [2-1 : 24-22, 17-21, 21-11]
ATM Guardians mng Perak Bison [2-0 ; 21-13, 21-14]
Johor Tigris mng Selangor Pistons [2-1 : 18-21, 21-7, 21-18]
Penang Black Panthers mng Kelantan Warriors [2-0 : 23-21, 21-15]

- Advertisement -