Penang Black Panthers sudah sebelah tangan mengenggam kejuaraan Sepaktakraw League (STL) Premier setelah membenam pencabar terdekat, Terengganu Turtles 2-0 dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Serdang Jaya, pada Jumaat.

Ia adalah kemenangan yang ke-10 dari 11 perlawanan buat Black Panthers musim ini sekaligus menyaksikan mereka mengumpul 20 mata, jauh meninggalkan Terengganu Turtles yang berada di kedudukan kedua dengan 12 mata hasil daripada enam kemenangan. 

Pasukan bimbingan Helmi Ismail itu kini memerlukan hanya satu sahaja lagi kemenangan dari tiga perlawanan berbaki untuk mengesahkan kejuaraan.

“Memang kita sudah berada dalam kedudukan selesa, kalau diikutkan kita sudah bergelar juara tapi saya tidak mahu keyakinan itu memakan diri. Kita perlu menang satu lagi perlawanan untuk menang trofi secara rasmi jadi saya mahu pemain berada pada tahap terbaik dan turun setiap perlawanan berbaki dengan mentaliti mahu menang,” kata Helmi.

Beraksi selepas dua minggu berehat, Black Panthers yang menggandingkan Syahir Rosdi-Zaim Razali-Azlan Alias tampil bertenaga untuk memenangi set pertama 21-15 ke atas trio Terengganu Turtles, Irsyad Faiz Aziz-Ridaudin Ghani-Azwan Muhrim. 

Aksi tidak konsisten Azlan di kem Black Panthers serta kemasukan Hanafiah Dollah membolehkan Terengganu Turtles bermain dengan lebih yakin di set kedua dan cuba memberi tentangan sengit.

Pasukan dari pantai timur itu beberapa kali mendahului dan hampir sahaja mengheret perlawanan ke set penentuan namun Black Panthers berjaya memperkemas permainan dengan kemasukan Kamal Ishak menggantikan Azlan seterusnya memastikan Terengganu Turtles menggigit jari dengan memenangi set kedua 25-23.

“Terengganu adalah antara pasukan yang kita rasa paling susah, kerana kita pernah kalah dengan mereka di pusingan pertama, jadi timbal balik kita nak juga cuba menang supaya moral pemain berada dalam keadaan yang cukup baik.

“Masa set kedua, isu yang kita hadapi adalah dari segi balingan. Tekong (Syahir) tidak mendapat bola yang baik, memang jika seorang perejam lambat menyerap tekanan di atas gelanggang macam-macam boleh berlaku. Azlan bermain baik cuma dia tidak konsisten, jadi saya memasukkan Kamal untuk cuba dapatkan balingan konsisten, dan ia membuahkan hasil,” tambah Helmi.

Aksi seterusnya buat Black Panthers adalah menentang ATM Guardians pada Ahad ini manakala Terengganu Turtles yang kini memburu kedudukan tiga teratas akan menentang Kuala Lumpur Thunder pada Sabtu.

Sementara itu dalam satu lagi aksi, Kelantan Warriors mengukuhkan peluang mereka untuk menamatkan saingan di kedudukan tiga teratas setelah menundukkan ATM Guardians 2-0 (21-10, 21-11).OLEH MUHD AIMAN 

 

Keputusan :

Penang Black Panthers mng Terengganu Turtles (2-0; 21-15, 25-23)

Kelantan Warriors mng ATM Guardians (2-0; 21-10, 21-11)

- Advertisement -