nicol.david

Oleh Muhammad Aiman

Cabaran pemain perseorangan nombor satu negara, Nafiizwan Adnan di Kejohanan Skuash Terbuka Hong Kong berakhir seawal pusingan pertama setelah pemain itu tewas kepada Mazen Hisham dari Mesir di Pusat Skuash Hong Kong pada Selasa.

Nafiizwan yang mara ke undian utama dari pusingan kelayakan tewas mudah 5-11, 8-11, 7-11 kepada Mazen, pemain nombor 21 dunia sekaligus menyaksikannya gagal melepasi halangan pusingan pertama dalam lima percubaan sejak 2011.

“Ianya satu perlawanan yang sukar bagi saya, Mazen bermain dengan begitu pantas. Dia langsung tidak memberikan saya peluang untuk dapatkan rentak permainan saya. Memang mengecewakan untuk tewas, tetapi saya perlu segera bangkit untuk hadapi kejohanan seterusnya Terbuka China (8-11 Sept),” ujarnya.   

Lawan yang menanti Mazen di pusingan seterusnya adalah rakan senegara, juga pilihan ketujuh Karim Abdel Gawad – Karim tidak berdepan masalah mengetepikan tentangan pemain Sepanyol Borja Gorlan 11-4, 11-5 dan 11-9 untuk meneruskan kemaraan.

Dalam pada itu, pemain ‘wildcard’ tuan rumah, Yip Tsz Fung mencipta kejutan terbesar kejohanan setelah menyingkirkan pemain nombor tiga dunia, Miguel Angel Rodriguez dari Colombia dalam pertarungan sengit lima set 13-11, 10-12, 2-11, 11-3, 11-6.

“Saya gembira dapat menewaskan pemain yang berada di kelompok lima terbaik dunia, saya telah bekerja keras sejak dua bulan lalu dan ianya mengujakan untuk melihat ianya membuahkan hasil. Saya harap dapat beraksi dengan lebih baik di pusingan seterusnya,” ujar pemain di kedudukan 50 dunia itu.

Dia akan berdepan pemain Australia, Ryan Cuskelly yang menyingkirkan Omar Abdel Majid untuk mencari tempat di suku akhir.

Sementara itu, dua pemain perseorangan wanita negara, Dato’ Nicol David dan Low Wee Wern akan turun beraksi di perlawanan pusingan pertama pada Rabu.

- Advertisement -