100PLUS.latestOleh Muhammad Aiman

Melaka United hanya memerlukan satu mata sahaja lagi dari perlawanan seterusnya menentang pencabar terdekat, Johor Darul Takzim II untuk muncul juara 100 PLUS Liga Premier 2016 seterusnya melakar satu lagi sejarah baru bolasepak negeri itu.

Pasukan bimbingan Mat Zan Mat Aris itu mengekalkan kelebihan selesa lapan mata di tangga teratas setelah menundukkan Negeri Sembilan 1-0 di Paroi, menerusi jaringan tunggal R.Surendran 10 minit sebelum tamat perlawanan.

Kemenangan membolehkan Melaka mengumpul 48 mata, dan dengan hanya berbaki tiga perlawanan sahaja lagi sebelum musim menutup tirai, keputusan seri menentang JDT II di gelanggang sendiri pada 9 September depan akan mengesahkan kejuaraan besar pertama buat juara Piala FAM 2015 itu selepas 33 tahun.

Sementara itu, JDT II memastikan pemburuan kejuaraan masih berterusan setelah membenam cabaran pasukan kelompok bawahan, Angkatan Tentera Malaysia 3-0 di Temerloh hasil dua jaringan penalti Paolo Rangel dan satu jaringan Che Rashid Che Halim.

Secara matematik, dengan 40 mata, JDT II masih berpeluang setidak-tidaknya melengahkan pesta Melaka andai berjaya menewaskan pendahulu liga itu namun untuk mengharapkan Melaka tewas kesemua tiga perlawanan terakhir dilihat sebagai mustahil jika mengambil kira prestasi semasa dan konsistensi pasukan itu.

PKNS pula terus menyalakan peluang untuk kembali beraksi di Liga Super apabila mengukuhkan cengkaman di tangga ketiga dan mengekalkan beza satu mata di belakang JDT II setelah menundukkan pasukan tangga tercorot, Sime Darby 2-1 di Selayang.

Gol buat skuad E.Elavarasan dijaringkan Juan Manuel Cobelli dan Matias Jadue manakala Syed Sobri Syed Mohd menjaringkan gol saguhati buat tuan rumah.

Kuala Lumpur pula kekal di tangga keempat setelah mencatat keputusan seri 2-2 menentang Sabah di Kota Kinabalu – gol buat skuad warga kota dijaringkan Modibo Konte dan Zhafri Yahya manakala Igor Cerina menjaringkan dua gol buat Sabah.

Hanya DRB Hicom satu-satunya pasukan berjaya memperbaiki kedudukan apabila melonjak ke tangga keenam setelah menundukkan Uitm FC 2-1 di Shah Alam  manakala dalam satu lagi perlawanan Kuantan FA mencatat keputusan seri 1-1 menentang Perlis.

Aksi liga akan berehat selama dua minggu bagi memberi ruang kepada aksi suku akhir Piala Malaysia dan kembali bersambung pada 9 September depan.  

- Advertisement -