Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat berita yang dinantikan dengan berita tonggak utama mereka Gonzalo Cabrera tidak mengalami kecederaan serius selepas bertembung dengan Renan Alves pada aksi menentang Kedah Darul Aman (KDA), yang dimenangi Harimau Selatan 1-0.

Pemain kelahiran Argentina memerlukan rawatan kecemasan apabila tidak sedarkan diri selepas pertembungan itu, dan serta-merta dipapah keluar melalui stretcher dan digantikan dengan Arif Aiman selepas sejam perlawanan berlangsung pada malam Selasa (Mei 4).

Tetapi Cabrera sedarkan diri apabila berada di hospital, dan kelab itu mengesahkan pemain itu tidak mengalami kecederaan serius.

“Cabrera sudah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital selepas terlibat dalam pelanggaran bertemu Kedah malam tadi. Ujian perubatan awal mengesahkan Cabrera tidak mempunyai sebarang komplikasi.

“Beliau akan menjalani pemantauan lanjut selama beberapa hari sebelum dibenarkan kembali menjalani latihan,” menurut kenyataan rasmi kelab itu.

JDT pastinya lega mendapatkan khidmat pemain itu menjelang satu lagi pertemuan besar berdepan Penang Sabtu ini.

Tiga mata buat JDT akan mengukuhkan cengkaman mereka dipersada liga, serta membuka jurang lima mata ke atas Harimau Kumbang.

Cabrera, sebelum dikeluarkan menentang KDA, menjadi outlet penting buat JDT dengan larian solonya yang sering membuka ruang buat rakan sepasukan.

Musim ini, JDT kehilangan Safawi Rasid buat beberapa aksi selepas kecederaan yang dialami sewaktu bertemu UiTM.

Selain itu, Hariss Harun dan Natxo Insa juga tidak beraksi dalam kesemua aksi akibat setback kecederaan.

- Advertisement -