Dengan berkumandangnya lagu Negaraku di Carrara Sports and Leisure Center tengah hari tadi, maka berakhirlah perjuangan kontijen negara di temasya Sukan Komanwel Gold Coast 2018 yang menutup tirainya hari ini.

Kontijen negara berjaya memperbaiki pencapaian enam emas, tujuh perak dan enam gangsa di Glasgow 2014 dengan membawa pulang tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa namun gagal menepati sasaran untuk berada di kelompok 10 kontijen terbaik apabila sekadar menduduki tempat ke-12.

Begitupun Chef de Mission kontijen Malaysia, Huang Ying How tetap gembira dan berpuas hati dengan pencapaian tersebut kerana menurutnya fokus utama adalah jumlah pingat keseluruhan yang telah dimenangi.

“Kita ada sebab untuk gembira dengan pencapaian keseluruhan dan ada sebab untuk kecewa kerana sepatutnya kita boleh menang lebih banyak emas tetapi atlet yang disasarkan untuk menang emas gagal melakukannya. 

“Antaranya berbasikal yang tidak langsung menang pingat, gimrama dan Pandelela (Rinong) yang melakukan catatan baik di pusingan kelayakan tetapi tidak menyerlah di final. Namun usaha mereka tetap perlu diberi kredit kerana semua sudah melakukan yang terbaik,” ujar Ying How.

Tambahnya, “Saya puji semangat melawan dan keyakinan tinggi ditunjukkan oleh semua penyumbang emas. Sebagai contoh atlet boling padang bangkit menang emas selepas begitu jauh ketinggalan dan sudah hampir kalah.

“Manakala Chong Wei pula bangkit dari kekalahan set pertama untuk menewaskan pemain nombor satu dunia yang dianggap sebagai pilihan.”

Sebagai rekod, tujuh emas kontijen negara di Gold Coast disumbangkan oleh Azroy Hazalwafie Izhar dan Aznil Bidin (angkat berat), Pandelela-Cheong Jun Hoong (terjun), Siti Zalina Ahmad-Emma Firyana Saroji (boling padang), Amy Kwan Dict Weng (gimrama), Datuk Lee Chong Wei dan Chow Mei Kuan-Vivian Hoo (badminton).

 

Senarai pemenang pingat

EMAS 

1) Azroy Hazalwafie Izhar (angkat berat)

2) Aznil Bidin (angkat berat), 3) Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong (terjun)

4) Siti Zalina Ahmad-Emma Firyana Saroji (boling padang)

5) Amy Kwan Dict Weng (gimrama)

6) Datuk Lee Chong Wei (badminton)

7) Chow Mei Kuan-Vivian Hoo (badminton)

 

PERAK 

1) Berpasukan campuran (badminton)

2) Jong Yee Khie (para powerlifting)

3) Koi Sie Yan (gimrama – bola)

4) Koi Sie Yan (gimrama – belantan)

5) Berpasukan (gimrama)

 

GANGSA 

1) Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah (Olahraga Para T12 100m)

2) Goh V Shem-Tan Wee Kiong (badminton)

3) Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (badminton)

4) Leong Mun Yee-Nur Dhabitah Sabri (terjun 10m platform seirama)

5) Leong Mun Yee-Nur Dhabitah Sabri (terjun 3m papan anjal seirama)

6) Amy Kwan Dict Weng (gimrama – gelung)

7) Amy Kwan Dict Weng (gimrama – individu keseluruhan)

8) Koi Sie Yan (gimrama – riben)

9) Alia Sazana Azahari (menembak 25m pistol)

10) Nafiizwan Adnan (skuash)

11) Ho Ying-Karen Lyne (ping pong)

12) Fazrul Azrie Mohdad (angkat berat)

- Advertisement -