Kelab futsal terkemuka dari Thailand, PTT Chonburi Bluewave muncul juara Sultan Ahmad Shah International Cup 2020 selepas menewaskan pasukan dari Jepun, Athletic Fuchu Tachikawa 4-2 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan pada Ahad.
Juara Kejohanan Futsal AFF 2019 itu menepati status selaku pasukan pilihan apabila bangkit daripada ketinggalan di separuh masa pertama dengan menjaringkan tiga gol pantas pada penghujung permainan untuk memastikan kemenangan.
Chonburi yang menewaskan FC Nakai 6-1 dalam aksi separuh akhir, mendahului 1-0 menerusi rembatan Vitor Fernando Dos Santos namun gol penyamaan oleh Uemura Atsuya memastikan Athletic Fuchu kembali mengimbangi permainan, sebelum Arai Yusei meletakkan pasukan F-League itu mendahului 2-1 di separuh masa pertama.
Aksi rancak berterusan di separuh masa kedua dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun tiada tambahan jaringan terhasil sehinggalah perlawanan memasuki lima minit terakhir dengan Chonburi beroleh gol menerusi Supakorn Sangom, Warut Wangsama-Aeo dan Ronnachai Jungwoonsuk.
“Kami mengharungi dua perlawanan yang sukar di sini dan gembira untuk mengakhirinya selaku juara. Kredit kepada pemain-pemain yang tidak patah semangat dan menunjukkan kesungguhan tinggi untuk mendapatkan jaringan. Ini adalah trofi pertama untuk musim ini dan saya berharap kejayaan di sini menjadi motivasi kepada para pemain untuk mengorak langkah lebih cemerlang pada tahun ini,” kata ketua jurulatih Chonburi, Carlos Cesar Nunex Gago.
Kejayaan Chonburi itu bertambah manis apabila ayam tambatan mereka Muhammad Osamanmusa muncul penjaring terbanyak kejohanan manakala penjaga gol Arut Senbat pula dinobatkan Pemain Paling Bernilai.
Upacara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, YAM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah. Turut hadir adalah Presiden Pahang Rangers, YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan pasukan tuan rumah Pahang Rangers menamatkan kejohanan di tempat keempat setelah tewas 4-5 kepada satu lagi pasukan dari Jepun, FC Nakai.
Akira Maeda menjaringkan dua gol buat pasukan kendalian Jun Kiyono itu manakala tiga lagi jaringan hadir menerusi Satoshi Ishizeki, Isshin Fuji dan Kensuke Nakai manakala skuad kendalian Gerard Casas yang diperkuatkan lapan pemain kebangsaan membalas menerusi Khairul Effendy Bahrin, Saiful Nizam Mohd Ali, Firdaus Ambiah dan Akmarulnizam Idris.
“Tiada siapa suka untuk kalah, begitu juga saya, tetapi ini adalah kejohanan pra-musim, kita sedang mempersiapkan pasukan untuk MPFL (Malaysian Premier Futsal League) yang bermula bulan depan jadi keputusan perlawanan bukan satu isu besar sebaliknya saya mahu pemain-pemain menunjukkan kualiti mereka, setiap pemain mendapat peluang dan saya gembira dengan apa yang disaksikan dalam dua perlawanan ini,” kata ketua jurulatih Pahang Rangers Gerard Casas.
- Advertisement -