Oleh Muhammad Aiman

Jaguh badminton dunia, Dato’ Lee Chong Wei tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri apabila tampil beraksi dalam pertandingan kompetitif pertama tahun ini di Kejohanan All England yang bermula minggu depan.

Chong Wei yang membuat keputusan untuk bertanding pada saat akhir setelah terdahulu memilih untuk menarik diri berkata sasaran utamanya di kejohanan berprestij itu adalah mahu mendapatkan semula keyakinan dan merasai suasana pertandingan setelah begitu lama tidak turun gelanggang.

Menambah motivasinya, pemain nombor satu dunia itu dinobatkan sebagai Atlet Terbaik di Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan (SAM)-100PLUS 2016 yang berlangsung pada Khamis yang mana telah disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Chong Wei menewaskan enam calon lain iaitu Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Tan Wee Kiong-Goh V Shem (badminton), Mohd Al-Jufri Jamary (silat), Pandalela Rinong-Cheong Jun Hong (terjun), Azizulhasni Awang (basikal) dan Khairul Idham Pawi (permotoran).

“Ini adalah anugerah kedua saya di SAM, satu suntikan untuk saya menghadapi tahun 2017 yang pastinya cukup mencabar. Saya baru balik dari kecederaan, bermain di All England saya harap boleh dapatkan kembali keyakinan dan rasai suasana bermain setelah kali terakhir bermain Disember lalu.

“Ketika ini saya menumpukan untuk pertingkatkan prestasi sendiri, lagipun tahun ini ada banyak kejohanan, Terbuka Malaysia, Kejohanan Dunia termasuk berpasukan seperti Piala Sudirman, jadi saya perlu fokus. Perlu menjalani pemulihan dengan baik dan pastikan kecederaan tidak bertambah serius,” katanya.

Mengenai tahap kecederaan lutut dialaminya, pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali beturut-turut itu berkata, “Saya sudah kembali menjalani latihan penuh, cuma rasa sakit tu memang masih ada lagi sikit, tapi tiada masalah besar.

“All England ini mungkin jadi yang kedua terakhir buat saya, jadi saya hanya mahu bermain tanpa tekanan dan nikmati karier saya yang sudah di penghujung. Saya tidak pasti bila akan bersara, tengoklah ada prestasi dan kondisi, jika rasa ok saya teruskan menyumbang untuk negara, jika tidak saya akan berundur.”

Untuk rekod, Chong Wei pernah tiga kali memenangi gelaran All England iaitu pada tahun 2010, 2011 dan 2014 manakala tahun lalu Chong Wei kandas seawal pusingan pertama, tewas kepada B.Sai Praneeth dari India.

- Advertisement -