Penulis atau wartawan sukan bukan semata-mata berperanan melaporkan berita atau menyampaikan ulasan mengenai sesuatu aktiviti sukan, tetapi lebih dari itu turut berperanan penting menyumbang kepada kemajuan arena sukan tanah air menerusi penulisan berkualiti.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, “Kita lihat peranan penulis sukan di dalam memberikan motivasi kepada atlet dan menaikkan semangat mereka menerusi penulisan-penulisan yang berkualiti, berinspirasi dan memberikan dorongan kepada mereka untuk meningkatkan prestasi diri dan menjadi johan.”

Beliau berkata demikian setelah hadir menyempurnakan Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan (SAM)-100PLUS di ibu negara pada Khamis.

“Sudah tentunya ia boleh memacu martabat dan pembangunan sukan negara ke satu tahap yang lebih tinggi. Justeru saya bersetuju untuk katakan majlis seperti ini satu pengiktirafan buat semua penulis sukan di Malaysia. Kredit kepada mereka di atas setiap laporan berita, ulasan dan analisis yang dibuat demi melihat sukan negara terus mencapai kejayaan cemerlang,” tambahnya.  

Pada majlis itu, Anugerah Laporan Berita Terbaik Media Cetak menjadi milik Ajitpal Singh (NSTP), Ulasan Sukan Terbaik Media Cetak (Aziman Rosdi, Harian Metro), Laporan Berita Terbaik Media Eletronik (Bazly Azmi, Astro Arena), Ulasan Terbaik Media Eletronik (Bazly dan Shahrazad Sani, Astro Arena), Laporan Khas Terbaik Terbuka dimenangi (Haika Khazi, Berita Harian) manakala Laporan Berita Permotoran Terbaik (Riduan Hanafiah, Kosmo) sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.

Bazly kemudiannya merangkul Trofi Siebel dan RM7,000 sekaligus muncul pemenang terbesar anugerah kewartawanan sukan edisi kali ini.

Wartawan Sports247, Muhammad Aiman pula tersenarai sebagai lima finalis bagi kategori ulasan sukan terbaik media cetak menerusi laporannya bertajuk ‘Exco Kafa perlu berasa malu, akui kegagalan dan berundur’.    

Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa berkata, “Alhamdulillah, selesai penganjuran dua majlis besar secara berterusan iaitu Kongres AIPS Asia dan Majlis Anugerah SAM. Ucapan terima kasih teristimewa kepada semua exco SAM, Kementerian Belia dan Sukan, team Media247 serta penaja yang membantu menjadikan majlis ini satu kejayaan, terima kasih sekali lagi dan tahniah kepada semua pemenang. Kita harapkan tahun depan ianya akan menjadi lebih meriah.”

- Advertisement -