Satu impian, satu harapan dan satu misi yang sama. Itu yang boleh digambarkan buat dua pelumba yang menguasai dua kedudukan teratas carta keseluruhan kelas CP150 setakat ini, Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing) dan Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing).

Dua pelumba muda ini muncul pelumba terpantas pada sesi kelayakan kelas CP150 pada aksi Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS yang bermula di Litar Jempol, Negeri Sembilan semalam. 

Mereka kini bukan sahaja mahu memenangi aksi di Jempol minggu ini, tetapi juga sedang memburu gelaran juara keseluruhan bagi kategori pemandu untuk musim 2019.

Afif kini berada di kedudukan teratas dengan mengumpul 127 mata manakala Azroy sudaha meraih 102 mata. Situasi tersebut telah mencetuskan semangat yang tinggi buat dua pelumba ini untuk mengejar mata maksimum pada saingan di Jempol kerana jika gagal berbuat demikian, ia boleh menjejaskan misi masing-masing.

Pada sesi kelayakan, Azroy dan Afif telah membuktikan kesungguhan masing-masing sehingga menyaksikan mereka terikat dengan catatan terpantas yang sama iaitu 44:632 saat (s).

Jika prestasi mereka berulang pada perlumbaan sebenar esok, ia bukan perkara mustahil buat dua pelumba ini untuk memenanginya di dua kedudukan teratas.

Tumpuan mereka kini adalah untuk memastikan keadaan jentera berada pada tahap terbaik. “Saya menjangkakan persaingan kali ini lebih sengit kerana semua pelumba mengejar kedudukan terbaik. Keadaan litar yang kering juga akan melancarkan perjalanan perlumbaan.

“Saya akan berusaha untuk melakukan yang terbaik dan dalam masa yang sama bertekad untuk meraih mata maksimum,” jelas Afif.

Sesi kelayakan turut menyaksikan Md Aiman Tahiruddin (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing) tampil ketiga terpantas dengan masa 44.727s sepusingan.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Akid Aziz yang mencatat masa terpantas 44.806s menamatkan sesi kelayakan itu di kedudukan keempat terpantas. Hari ini, 10 pelumba yang mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan akan kembali beradu tenaga bagi menentukan kedudukan petak menerusi perlumbaan Superpole.

Sementara itu, bagi sesi kelayakan kelas CP115 A, pelumba Motul Yamaha YY Pang Racing, Md Fareez Afeez Abd Rahman tampail terpantas apabila merekodkan masa 46:633s sepusingan.

Tempat kedua dan ketiga terpantas,masing-masingnya menjadi milik Md Syafiq Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) dan Shahrol Syazras Shahrol Yuzy (Idemitsu Honda Yuzy Racing) dengan masa 46.647s serta 47.080(s).

Sesi kelayakan bagi CP115 B pula diungguli pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff yang merekodkan masa 46.779s.

Sepuluh pelumba yang mencatat masa terpantas pada sesi hari ini, akan kembali bersaing dalam perlumbaan Shoot Out. Kelas Wira pula bakal menyaksikan pelumba AFB TECH Racing, Md Shahrul Ezwan Shahril menguasai petak hadapan apabila muncul terpantas pada sesi Shoot Out dengan catatan masa terpantas 47.312s sepusingan.

Dua pelumba pasukan ONEXOX SAG Team, Md Aeiman Hafidz Shahril dan Md Norhakim Norhafizullah pula menghuni tempat kedua dan ketiga terpantas.

- Advertisement -