Setelah mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan dalam 10 pusingan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix, pelumba Honda Yuzy Idemitsu Team, Azroy Hakeem Anuar akhirnya berjaya bergelar Juara CP150.

Pusingan penutup tirai Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix 2021 bermula dengan lancar di Litar Sepang Selatan. Selepas dua hari mereda hujan dan banjir akibat ribut kuat yang melanda, para pelumba Cub Prix akhirnya dikurniakan dengan cuaca yang begitu sempurna untuk perlumbaan terakhir musim 2021.

Walaupun kedudukan pendahulu kejuaraan telah dirampas oleh Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing di Pusingan 9, Azroy enggan menyerah. Pelumba Honda tersebut memilih strategi konservatif dalam perlumbaan CP150 Akhir sepanjang 11 lap itu.

Tatkala pelumba-pelumba lain berasak untuk mendahului perlumbaan, Azroy cuma fokus mengekalkan kedudukannya di kalangan kelompok pertama. Berbaki tiga lap perlumbaan, Azroy mula mengorak langkah meletakkan dirinya di tempat yang strategik.

Strategi ‘curi angin’ ataupun slipstreaming Azroy berjaya apabila pelumba Honda tersebut membuat kejutan di garisan penamat. Azroy berjaya mengungguli perlumbaan penutup tirai dengan catatan masa 14’13.682s. Kemenangan ini sekaligus mengesahkan kedudukan Azroy sebagai Juara CP150 dengan 163 mata.

“Perlumbaan tadi memang mencabar kerana terlalu ramai pelumba-pelumba Yamaha yang berada di depan. Oleh itu, saya memilih strategi yang lebih selamat. Musim ini juga agak mencabar bagi kami semua. Agak sukar untuk mendapat momentum apabila penganjuran perlumbaan terpaksa ditangguh akibat pandemik Covid-19. Namun, saya amat bersyukur mendapat peluang untuk menamatkan musim 2021 dengan kejayaan yang diidamkan selama ini. Saya akan cuba yang terbaik untuk mengekalkan prestasi kami dalam musim hadapan,” kata Azroy.

Tempat kedua dimenangi Ahmad Fazrul Sham dengan catatan masa 14’13.700s dan Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan menduduki tempat ke-tiga dengan 14’13.702s.

Pesaing terdekat Azroy, Ahmad Afif Amran, menamatkan perlumbaan penutup tirai di tempat ke-5, dan terpaksa akur di tangga kedua keseluruhan dengan 157 mata. Mohd Akid Aziz menamatkan musim 2021 di tangga ketiga dengan 135 mata.

Pelumba ONEXOX TKKR Racing Team berjaya menamatkan musim 2021 dengan nada positif apabila muncul juara perlumbaan CP125 dengan catatan masa 11’08.299s.

Walaupun juara CP125 musim ini sudah ditentukan oleh Mohd Adib Rosley di Pusingan 9, persaingan kategori intermediate ini tidak kurang sengit. Hafiza bertarung hebat dengan persaing terdekat Mohd Syafiq Rosli serta Mohd Firdaus Mohd Hamdan sebelum berjaya mencatat kemenangan ke-empatnya musim ini.

Buat kali ketiga berturut-turut, pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing berjaya menggalas gelaran Juara Wira KBS. Buruan takhta kategori bawah-17 yang berlarutan sehingga ke pusingan penutup tirai itu menyaksikan perbalahan hebat antara pelumba pasukan, Mohd Aqil Danial Nasrul serta Mohd Harith Haziq Zamri dari pasukan Castrol Power1 Honda Team.

Strategi serangan berpasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing nyata menjadi. Sepanjang perlumbaan 7 lap itu, Harith Haziq dikepung rapat tiga pelumba 31 Racing. Meskipun jentera Honda dinampakkan mempunyai kelebihan di selekoh, namun kelajuan jentera-jentera Yamaha di laluan lurus sukar digugat.

Pada akhir perlumbaan, kemenangan terakhir musim 2021 dimenangi oleh Mohd Aqil Danial Nasrul dengan catatan masa 10’03.201s. Kemenangan ini menganugerahkan gelaran Juara Wira KBS 2021 kepada Aqil dengan 148 mata.

 

CUB PRIX ROUND 10 RESULTS

CP150

1. Azroy Hakeem Anuar (Honda, Honda Yuzy Idemitsu Team), 14’13.682s

2. Ahmad Fazrul Sham (Yamaha, Yamaha GenBlu AHM Motor Sports) 14’13.700s

3. Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang), 14’13.702s

 

CP150 RIDER STANDINGS AFTER ROUND 10

1. Azroy Hakeem Anuar (Honda, Honda Yuzy Idemitsu Team), 163 pts

2. Ahmad Afif Amran (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing), 157 pts

3. Mohd Akid Aziz (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing team), 135 pts

 

CP150 TEAM STANDINGS AFTER ROUND 10

1. PETRONAS Sprinta Yamaha – Maju Motor, 244 pts

2. PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, 240 pts

3. ONEXOX TKKR Racing Team, 228 pts

 

CP125

1. Mohd Hafiza Rofa (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 11’08.299s

2. Mohd Firdaus Mohd Hamdan (Honda, Moto1 Koyoko Honda KC Racing Team), 11’08.391s

3. Mohd Syafiq Rosli (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha – Maju Motor), 11’08.636s

 

CP125 RIDER STANDINGS AFTER ROUND 10

1. Mohd Adib Rosley (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 165 pts

2. Mohd Syafiq Rosli (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor), 145 pts

3. Mohd Hafiza Rofa (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 143 pts

 

CP125 TEAM AWARD STANDINGS AFTER ROUND 10

1. Ipone Yamaha YY Pang Racing Team, 301 pts

2. PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, 236 pts

3. ONEXOX TKKR Racing team, 184 pts

 

WIRA KBS

1. Mohd Aqil Danial Nasrul (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing), 10’03.201s

2. Danial Johan (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing), 10’03.273s

3. Mohd Harith Haziq Zamri (Honda, Castrol Power1 Honda Team), 10’03.342s

 

WIRA KBS RIDER STANDINGS AFTER ROUND 10

1. Mohd Aqil Danial Nasrul (Yamaha, PETRONAS sprinta Yamaha-31 Racing), 148 pts

2. Mohd Irfan Haykhal Amidi (Honda, Moto1 Koyoko Honda KC Racing), 133 pts

3. Mohd Harith haziq Zamri (Honda, Castrol Power1 Honda Team), 131 pts

- Advertisement -