Pelumba Rally Cycling, Adam De Vos memenangi Peringkat 3 dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu hari ini, untuk merampas jersi kuning Le Tour de Langkawi 2018.

Ia adalah kemenangan peringkat pertama dalam perlumbaan jelajah berstatus 2HC buat pelumba kelahiran British Columbia, Kanada berusia 24 tahun itu, dan kali pertama dalam kariernya menyarung jersi pendahulu.

Kemenangan menjadi miliknya apabila membuat keputusan tepat untuk membuat henjutan lebih awal ketika berada dalam kelompok empat pelumba yang berada di depan, kerana menyedari pelumba pasukan KSPO-Bianchi, Kim Daeyon yang berada dalam kumpulan itu adalah pakar pecut lebih baik berbandingnya.

“Rakan sepasukan banyak mengajar saya untuk bertindak sekiranya berada di dalam kumpulan pemecah. Jadi sebaik mengambil kedudukan di depan pada selekoh terakhir kira-kira 2 kilometer dari garisan penamat, saya terus berkayuh laju untuk mengekalkan tempat di depan, walaupun cuba dikejar tiga pelumba lain,” kata De Vos, yang menamatkan kayuhan sejauh 166km di Dataran Syahbandar itu dengan masa 3 jam 58 minit 18 saat.

Daeyon di tempat kedua manakala masing-masing Nik Mohd Azwan Zulkiflie (Forca Amskins) dan Harrison Sweeny (Mitchelson Bikeexchange) di tempat ketiga dan keempat.

Mereka berada 1 minit 19 saat di depan kelompok besar yang diketuai Anuar Manan (Forca), sekali gus turut membolehkan Daeyon merampas jersi hijau Raja Pecut manakala Nik Mohd Azwan menyarung jersi putih Pelumba Terbaik Asia.

Disebabkan tiada zon pendakian pada Peringkat 3 itu, pelumba Manzana Postobon, Bernardo Albeiro Suaza terus mengekalkan jersi polka dot Raja Bukit yang disarungnya di akhir Peringkat 2 di Kota Bharu, semalam.

Dalam senarai keseluruhan, De Vos yang mengumpul masa keseluruhan 12 jam 45 minit 31 saat untuk memastikan jersi kuning pendahulu, hanya berada 14 saat di depan Nik Mohd Azwan dan 22 saat di depan Harrison.

Daeyon pula disarungkan jersi hijau Raja Pecut dengan 27 mata terkumpul apabila memastikan mata maksimum 15 di ketiga-tiga zon pecutan manakala Nik Mohd Azwan disarungkan jersi putih Pelumba Terbaik Asia, 1 minit 10 saat di depan penyarung sebelum ini dari KSPO, Seo Joonyong.

Dalam perlumbaan itu, De Vos adalah antara kumpulan sembilan pelumba yang meloloskan diri sebaik perlumbaan melepasi zon neutral dan pelumba dalam kumpulan depan itu menguasai ketiga-tiga zon pecutan di Jelawat (Km20.6), Kuala Besut (Km51.3) dan Pantai Penarik (Km101.2).

Kumpulan 9 pelumba itu terus menjarakkan diri sehingga berada 4 minit di depan tetapi pelumba Kinan Cycling, Thomas Lebas tercicir sebelum empat lagi pelumba – Ali Shahbana Agung (KFC), Peerapol Chawchiangkwan (Thailand Contnental) serta Muhammad Firdaus Awang dan Muhammad Ameen Ahmad Kamal (Malaysia) tercicir sebaik melepasi zon pecutan ketiga.

“Selepas itu hanya tinggal empat pelumba dan saya dapati kami berada sehingga 7 minit di depan. Dari situ, keempat-empat kami bekerjasama untuk memastikan kedudukan di depan walaupun peloton dapat mencantas sehingga kira-kira 2 minit pada baki 10km.

“Saya gembira dengan jersi kuning ini tetapi tidak pasti sama ada mampu mempertahankannya kerana ada peringkat pendakian ke Cameron Highlands selepas ini. Kalau boleh, saya akan cuba mengikuti pakar pendaki lain dan tiba bersama mereka di Cameron Highlands nanti.

“Yang penting, saya perlu pulih segera daripada kayuhan hari ini,” kata De Vos yang mengikut jejak langkah pengurus pasukan itu, Eric Wohlberg, memenangi peringkat di Kuala Terengganu pada 1999.

Sementara itu, Nik Mohd Azwan terus mempamer kecemerlangan pada LTdL 2018 ini apabila berdiri di podium ketiga, merampas jersi Pelumba Terbaik Asia dan berada di kedudukan kedua dalam senarai keseluruhan individu.

“Bukan mudah kerana selepas peringkat sukar dari Gerik semalam, jarak perlumbaan hari ini juga agak panjang. Tetapi dari awal, saya sudah nekad untuk mengutip mata di zon pecutan hari ini dan cuba merebut jersi putih.

“Walaupun kumpulan pemecah semakin berkurangan kepada hanya empat orang, kami bekerjasama untuk memastikan terus selesa di depan. Cuma ketika menghampiri garisan penamat, saya agak terlewat untuk mengejar Adam,” kata anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu.

“Ini antara persembahan terbaik saya dalam LTdL dan berharap dapat mengekalkan rentak selepas ini,” kata pelumba 28 tahun yang tampil buat kali kelima dalam LTdL itu.

Peringkat 4 LTdL esok akan diteruskan dari Dungun ke Pekan sejauh 177.6km, membabitkan tiga zon pecutan di Paka (Km17.5), Chukai (Km72.3) dan Balok (Km112.1) dengan hanya satu zon pendakian kategori 1 di Kijal (Km56.3).

Perlumbaan dengan jarak keseluruhan 1,341.2 km berstatus 2.HC dalam kalendar Jelajah Asia UCI itu akan disertai 22 pasukan dan laluannya melibatkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia.

LTdL 2018 dianjurkan Ciclista Sports dengan sokongan penuh kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan.

- Advertisement -