
Saingan Hari Ketiga Deaflympics 2025 menyaksikan perkembangan positif buat Malaysia apabila atlet olahraga dan pemain badminton negara mempamerkan aksi memberangsangkan di Tokyo .
Kem olahraga negara mendapat suntikan memberangsangkan apabila “Raja Pecut Pekak Asia Tenggara” Muhammad Zamir Azman dan rakan sepasukan Hazrul Shah Hamri menempatkan diri ke separuh akhir 100m lelaki di Stadium Komazawa Metropolitan.
Kedua-dua atlet yang membuat penampilan sulung di Deaflympics, gagal menamatkan saringan masing-masing dalam dua teratas, namun tetap mara selepas muncul antara lapan pelari terpantas keseluruhan.
Zamir mencatat 11.58 saat, manakala Hazrul merekodkan 11.53 saat, jauh daripada rekod peribadi masing-masing 11.06s, tetapi cukup untuk mengekalkan harapan pingat mereka.
“Saya benar-benar berharap dapat mencatat bawah 11 saat di separuh akhir. Itu akan meningkatkan peluang saya layak ke final,” kata Zamir yang kini memberi fokus sepenuhnya kepada aksi esok.
Hazrul turut bertekad memperkemas permulaan dan rentak larian dalam usaha menghadapi peringkat separuh akhir yang dijangka sangat kompetitif.

Di Arena Keio, skuad badminton negara juga mencatat pencapaian meyakinkan apabila beregu campuran utama negara dan pilihan keempat, Edmund Teo/Boon Wei Ying, meraih kemenangan kedua Kumpulan C.
Pasangan negara itu hanya memerlukan 32 minit untuk menumpaskan gandingan Korea Selatan Jeong Jincheol/Park Soyi, dengan catatan kemenangan 21-14, 21-19 hasil permainan taktikal yang tenang dan tersusun.
Mereka akan menamatkan saingan kumpulan esok menentang pasangan Turkiye Muhammed Sert/Elif Sahra Demirel, dengan misi mengungguli kumpulan untuk mendapatkan laluan lebih baik ke pusingan kalah mati.
Wei Ying berkata:“Kami sentiasa berbincang mengenai strategi sebelum perlawanan. Impian kami adalah untuk mara ke final, dan ia semakin hampir jika kami kekal fokus.”
Dalam Kumpulan D, beregu campuran kedua negara R. Aravindakumar/Foo Zu Tung memulakan kempen dengan kemenangan bergaya ke atas pasangan Turkiye Dogukan Yilmaz/Nalan Kaygin 21-8, 21-12, namun tewas kepada pasangan Chinese Taipei Chen Chung-I/Shen Yan-Ru.
Bagi Edmund Teo, misi menebus kekalahan semalam tercapai apabila beliau bangkit dalam acara perseorangan lelaki, menewaskan pemain Denmark William Haurholm-Rasmussen 9–21, 21–15, 21–15 dalam aksi kedua kumpulan. Kemenangan ini mengekalkan peluangnya untuk mara ke peringkat seterusnya.
Namun, dalam Kumpulan G, R. Aravindakumar pula berdepan cabaran lebih sukar apabila tewas kepada pemain Chinese Taipei Chen I-Chung, yang menang 21-13, 21-15.




























