Oleh Muhammad Aiman

Setelah menyaksikan rekod bersih di laman sendiri lebur di tangan Kelantan, pengendali Pahang Dollah Salleh tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya dan bersedia melakukan rombakan terhadap barisan pemainnya.

Pahang beraksi cemerlang menang tiga perlawanan pertama di Stadium Darul Makmur musim ini dengan menewaskan T-Team (5-0), Pulau Pinang (6-1) dan PKNS Selangor (3-0) namun mencicirkan mata dalam dua perlawanan berikutnya menentang Selangor (2-2) dan Felda United (1-1).

Justeru, kempunan meraih tiga mata dalam tiga perlawanan berturut-turut di Darul Makmur, dengan kekalahan pertama adalah di tangan Kelantan yang bergelut dengan masalah jelas membuatkan kesabaran Dolah sampai ke kemuncaknya.

“Aksi di tempat sendiri sepatutnya menjadi kelebihan buat kita, tapi kita cicirkan mata tiga perlawanan berturut-turut. Hanya kutip dua daripada sembilan perlawanan. Ini memberi gambaran bahawa pemain semakin hilang fokus dan saya perlu mengambil tindakan drastik untuk atasinya.

“Kekalahan ini juga sudah tentunya menyebabkan jurang mata dengan JDT menjadi semakin jauh walaupun mereka juga cicirkan mata di Melaka. Dari lima mata sekarang beza enam mata, kita berdepan tugas getir untuk kembali mengejar jadi saya perlu segera buat sesuatu,” kata bekas jurulatih kebangsaan itu.

Pada perlawanan pertama pusingan kedua Liga Super itu yang mana menyaksikan empat gol terhasil dalam tempoh 10 minit di separuh masa kedua, The Red Warriors pulang sebagai pemenang setelah beroleh jaringan menerusi Alesandro Celin (m-17) serta Mohamed Ghaddar (m-72, 79) manakala Pahang membalas menerusi Matheus Alves (m-70, 78).

Selepas ini, skuad tok gajah akan kembali memberi fokus kepada saingan separuh akhir kedua Piala FA yang mana mereka akan berkunjung ke Seremban untuk menentang pendahulu 100Plus Liga Premier, Negeri Sembilan pada 13 Mei.

Pahang membawa kelebihan agregat 1-0 hasil kemenangan di tempat sendiri pada 30 April lalu dan sekiranya berjaya meneruskan kemaraan, mereka akan beraksi di final yang dijadual berlangsung pada 20 Mei. Kali terakhir Pahang mara ke final adalah ketika muncul juara pada 2014.

- Advertisement -