Pahang bakal turun dengan misi memulihkan kembali kekecewaan di Shah Alam selepas tewas mengejut 0-1 kepada UiTM FC.

Mahu atau tidak perlawanan seterusnya ibarat misi wajib meraih tiga mata atau Tok Gajah semakin terperosok ke dasar Liga Super.

Dalam 6 perlawanan setakat ini, skuad bimbingan Dollah Salleh ini hanya memperoleh dua kemenangan sebelum terus tersungkur dalam dua perlawanan terdahulu untuk berada di bawah Perak dengan perbezaan dua mata.

Justeru, Dollah nekad untuk melakukan sedikit rombakan dalam pasukan bagi aksi seterusnya menentang pasukan PDRM di laman sendiri pada Sabtu depan khususnya di bahagian tengah dan serangan yang sering menjadi masalah utama.

“Memang saya kecewa apabila kita tewas dengan UiTM FC dan memang saya sudah boleh jangkakan sebelum perlawanan apabila pasukan kita ramai yang pemain cedera dan serba tidak menjadi.

“Sebab itu, saya akan membuat sedikit rombakan selepas ini berdasarkan keadaan sekarang dengan Dickson Nwakaeme dan Ivan Carlos cedera, dengan situasi Mohamadou Sumareh lagi, jadi saya memang kena buat sesuatu khususnya di bahagian tengah dan serangan”, katanya.

Selain itu, Terengganu FC (TFC) juga berputih mata di Stadium Hang Jebat apabila Melaka United berjaya lebur rekod tanpa kalah TFC sejak 4 perlawanan terdahulu dengan kemenangan 1-0 pada Jumaat lalu.

TFC kekal di tangga kedua liga setakat ini tetapi bersaing rapat dengan Kedah yang nampaknya kembali bangkit untuk berada di kedudukan ketiga selepas mencatat kemenangan berterusan ketika menentang PJ City FC dengan keputusan 2-1, semalam.

Kemenangan UiTM FC dan Melaka pula meletakkan mereka masing-masing di kedudukan keempat dan kelima manakala Selangor menghuni tangga keenam selepas menang 2-1 ke atas Sabah.

- Advertisement -