floorball

Oleh Muhammad Aiman

Mengangkat imej dan standard sukan floorball ke tahap yg lebih tinggi,menjadi agenda utama Timbalan Presiden baru Persatuan Floorball Malaysia Dzul Akbar Dom Ami.

Dzul yang terpilih ke dalam jawatankuasa kepimpinan PFM bagi penggal 2016-2018 setelah berakhir Mesyuarat Agung Tahunan PFM pada Sabtu, berkata sukan floorball telah berjaya menarik semakin ramai peminat di Malaysia dan mempunyai potensi untuk terus berkembang.

“Floorball tidak lagi boleh dikatakan sebagai sukan kurang dikenali, dan saya percaya dengan perancangan dan program yang tersusun kita boleh pergi lebih jauh. Kita akan berusaha keras ke arah itu dan adalah menjadi visi saya untuk pastikan floorball terus bertapak kukuh menjadi satu daripada sukan tumpuan satu hari nanti.”

Tambah Dzul, “Pada Sukan Sea yang lepas di Singapura kita telah tunjukkan prestasi cemerlang menang dua pingat gangsa dalam acara lelaki dan perempuan walaupun itu penampilan pertama dan kita sasarkan kejayaan lebih gemilang selepas ini. Kita perlukan sokongan semua pihak untuk realisasikannya.”

Pada AGM yang berlangsung Sabtu, Dzul yang membawa nama Persatuan Floorball Selangor dipilih sebagai Timbalan Presiden selepas menewaskan Jarrow Marcus dari Sabah manakala jawatan presiden kekal menjadi milik Rizal Razman.

Untuk rekod, floorball di Malaysia sudah mula bertapak sejak tahun 15 tahun lalu di Universiti Malaya dan terus berkembang di beberapa pusat pengajian tinggi di seluruh negara sebelum PFM ditubuhkan pada 2013 bagi mempergiat dan membangunkan sukan itu.

Walaupun dilihat sebagai kurang diberi tumpuan dan jarang mendapat publisiti media, skuad floorball Malaysia pada hakikatnya telah banyak terlibat dengan kejohanan-kejohanan antarabangsa antaranya Piala Dunia 2002 dan 2004, Piala Asia Pasifik (2002-2010), Piala Dunia Peringkat Universiti dan Piala Sea 2014.

- Advertisement -