100PLUS.latestOleh Muhammad Aiman

Hasrat pencabar kejuaraan 100 PLUS Liga Premier, Kuala Lumpur untuk mendapatkan khidmat dua pemain Felda United, Ahmad Ezrie Shafizi dan Ferris Danial Mat Nasir pada pintu perpindahan kedua Liga Malaysia bulan ini tidak kesampaian apabila kedua-dua pemain kelahiran  itu memilih untuk menyarung jersi pendahulu liga, Melaka United.

Ia ternyata satu tamparan hebat buat skuad warga kota yang sudah sedia terpaksa melupakan khidmat dua pemain import iaitu Mario Karlovic dan penjaring terbanyak mereka Anselmo Cassagrande akibat kecederaan.  

Ezrie dan Ferris tidak dinafikan antara pemain berkualiti yang Ismail perlukan – Ezrie mencipta gandingan sensasi bersama Badhri Radzi di barisan tengah Kelantan sebelum berhijrah ke JDT dan kemudiannya mewakili PDRM manakala Ferris pula pernah mewakili skuad Harimau Muda kendalian Ong Kim Swee.

Meskipun kecewa, pengendali skuad warga kota Ismail Zakaria tidak mahu cepat melatah dan tenang memikirkan alternatif lain untuk memperkasakan skuadnya terutama di posisi serangan bagi menghadapi baki saingan 100PLUS Liga Premier dan juga Piala Malaysia.

“Sebelum ini kami sudah berbincang dengan Ezrie dan Ferris tapi mungkin tawaran dari Melaka lebih tinggi jadi mereka mengubah keputusan. Memang terkilan, tetapi bagi saya ini tidak menjejaskan persiapan pasukan, kami akan cuba mendapatkan pemain lain.

“Kita sememangnya memerlukan pemain lagi bagi memantapkan pasukan lebih-lebih lagi selepas ini saingan Liga Perdana dan Piala Malaysia akan berlangsung serentak,” katanya.

Tambah Ismail, “Adalah lebih penting juga saya mencari penyerang import selepas dua pemain Mario dan Cassagrande sudah tidak bersama pasukan. Saya memerlukan penyerang import yang betul-betul bagus kerana jika dilihat, jumlah jaringan pasukan kami dengan pasukan lain sangat jauh berbeza.

“Ketika ini ada beberapa pemain import dari Uzbekistan, Mali, Cameroon dan Amerika Syarikat sedang menjalani ujian percubaan. Kami akan memantau dan membuat penelitian terperinci sebelum mengambil sebarang keputusan,” katanya.

Selepas berakhir 12 perlawanan, Kuala Lumpur ketika ini menduduki tangga keempat, berkongsi 25 mata dengan pasukan tangga kedua Negeri Sembilan serta pasukan tangga ketiga Johor Darul Takzim II dan hanya ketinggalan dua mata di belakang Melaka.

- Advertisement -