Setelah melakar kejayaan pada dua musim sebelum ini, promoter kejuaraan FIA Formula 4 Asia Tenggara (F4 SEA) kini berusaha untuk menjadikan perlumbaan itu sebagai kejuaraan F4 Asia selepas musim akan datang yang bermula Julai ini.

India akan menjadi edisi terbaru kejuaraan itu apabila Madras Motor Race Track di Chennai, Tamil Nadu, dijadual menjadi tuan rumah satu acara September ini, kata promoter perlumbaan Peter Thompson, yang turut menjelaskan bahawa usaha sedang dilakukan bagi menjenama semula perlumbaan itu sebagai F4 Asia.

“Oleh kerana kami mempunyai lesen daripada FIA, kami ingin bergiat di peringkat serantau. Tidak ramai orang dari seluruh dunia faham apa itu SEA?sebuah artikel di Eropah menyebutnya sebagai kejohanan terapung kerana perlumbaan ini dijenamakan sebagai F4 SEA,” katanya kepada pemberita pada majlis jamuan makan tengah hari di sini hari ini.

Musim ketiga akan mempunyai lapan acara, dengan tiga perlumbaan setiap satu dirancang akan diadakan, berbanding lima acara pada musim 2017-2018 yang berakhir hujung minggu lepas.

“Bagi 2019, 10 acara sudah dirancang. Oleh kerana kami sedang beralih daripada program musim sejuk kepada musim panas, maka kami tidak dapat menganjurkan terlalu banyak acara (bagi 2018). Mulai tahun depan, kami akan tumpu kepada program musim panas sepenuhnya iaitu dari Mei hingga September,” katanya.

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan menjadi tuan rumah dua perlumbaan berturut-turut iaitu pada 7-8 Julai dan 13-15 Julai serta dua perlumbaan kejuaraan itu pada 23-25 Nov dan 1-2 Dis, di samping perlumbaan di Litar Antarabangsa di Buriram, Thailand dan Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia.

Formula 4 SEA adalah kejuaran rantau Asia bagi format perlumbaan melibatkan kereta satu tempat duduk FIA F4, yang diberi lesen untuk berlumba di Malaysia, Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand, India, Vietnam, Kemboja dan Taiwan sebagai batu loncatan bagi pemandu muda untuk beralih daripada Go-Kart hinggalah ke Formula 1 dan Perlumbaan GT.

Thompson berkata, pelumba Malaysia seperti Muizz Mustafar, Isyraf Danish dan Johany bersaudara ? Armand dan Arsh menunjukkan potensi besar untuk menjadi pemandu terkemuka pada masa akan datang, terutama Muizz, yang memenangi Perlumbaan 6 di SIC hujung minggu lepas, walaupun tidak biasa dengan kereta 160bhp Renault F4R 2.0L (enjin bukan turbo 4-silinder 2000cc).

“Satu perkara baik tentang F4 SEA ialah kami boleh membawa masuk pemandu antarabangsa untuk berlumba dengan pemandu Asia bagi membolehkan mereka memanfaatkan potensi sebenar mereka. Ketika ini, mereka (pemandu Asia) tidak mampu menang dengan mudah apabila berlumba sesama mereka kerana mereka perlu mencabar pemandu dari Eropah untuk menunjukkan potensi penuh masing-masing.”

“Sebagai contoh, Muizz, dia hanya membuat ujian selama tujuh jam dalam F4 kerana dia berlumba dalam acara Kart di Eropah sebelum itu. Tetapi, dia tetap berupaya menjuarai perlumbaan itu dan ini sesuatu yang hebat,” katanya.

Sementara itu, juara World Series Karting (WSK) 2014, Muizz ingin mencabar dirinya untuk rangkul gelaran juara keseluruhan F4 SEA sekiranya diberi peluang berlumba secara penuh pada musim akan datang, berbanding hanya dua pusingan pada musim sebelum ini.

“Jika diizinkan Tuhan, dengan sokongan dan penajaan SIC untuk berlumba bagi musim penuh, saya akan melakukan yang terbaik. Bukan mudah untuk menjadi juara keseluruhan kerana terdapat saingan sengit daripada pemandu lain, tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil sekiranya saya berusaha dari mula lagi,” kata peminat juara dunia empat kali F1 Sebastian Vettel itu.

Selain bercita-cita menjadi pemandu F1, Muizz juga ingin mencuba nasibnya pada perlumbaan Deutsche Tourenwagen Masters (DTM).

— BERNAMA

 

- Advertisement -