Oleh Ku Mohd Lufti

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memilih P. Maniam untuk menerajui The Red Giants bagi mengharungi musim 2017, sekaligus meredakan seketika isu penarikan diri daripada Liga Malaysia.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat ringkas melibatkan exco FAS dan Maniam menandatangani kontrak selama setahun bermula hari ini.

Menerusi kenyataan media daripada FAS, pemilihan Maniam selaku ketua jurulatih pasukan Selangor dibuat kerana beliau memiliki Pro Diploma AFC, lesen kejurulatihan professional tertinggi di peringkat Asia.

Maniam akan dibantu K. Gunalan dan Noor Zaidi Rohmat yang akan bertindak sebagai penolong jurulatih.

Jurulatih berusia 48 tahun ini pernah membimbing skuad Piala Belia Selangor yang menjadi juara pada 2006 dan skuad Piala Presiden pada 2008.

Malah, Maniam pernah menjadi pemangku jurulatih Selangor pada 2011 dan 2013 susulan perletakkan jawatan oelh K Devan dan Irfan Bakti Abu Salim.

Tahun 2016, Maniam dilantik sebagai Ketua Jurulatih pasukan yang beraksi di Piala FAM, Air Asia Allstars FC yang kini dikenali dengan Petaling Jaya FC.

Bekas pemain Selangor dari 1999 hingga 2001, Abdul Rauf Ahmad pula dilantik sebagai pengurus pasukan Selangor.

- Advertisement -