Oleh Ku Mohd Lufti

Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tangah hari … ini senario terbaru yang berlaku melibatkan pengurusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Keputusan perletakkan jawatan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Presiden FAS dan Amirudin Shari yang memegang jawatan sebagai pengurus pasukan jelas tidak disenangi exco.

Menerusi kenyataan media oleh Setiausaha FAS, Rosman Mohd Ibrahim hari ini menjelaskan masih belum menerima sebarang surat rasmi dari mereka dan hanya akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa (Exco) Khas bagi membincangkan perkara ini selepas menerima surat rasmi dari Azmin.

Azmin mendedahkan mentaliti exco FAS yang lemah dan ditahap lama menjadi punca kepada keputusan pengunduran daripada persatuan.

FAS pula membalas dan turut membuka pekung Azmin yang dikatakan enggan mengadakan pertemuan mahupun menghadiri mesyuarat bersama sama exco sejak dua bulan lalu.

Tambah Rosman, beliau mengharapkan Azmin dan Amirudin tidak lupa akan tanggungjawab melangsaikan gaji para pemain dan pegawai pasukan bagi bulan November 2016 dan bonus mara ke final Piala Malaysia 2016.

Apabila sukan bercampur dengan politik, manisnya tidak mungkin berpanjangan, semua pihak mahukan mengutamakan kepentingan peribadi dan hanya terus berdiam andai ia masih ditepati.

Apabila keadaan semakin keruh, kesudahannya, dan beban akan ditanggung pemain-pemain andai pertelingkahan diantara dua pihak ini tiada noktah peghujungnya.

Cerita yang hampir sama sedang berlangsung di utara tanah air, melibatkan pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang masih belum memutuskan samada mahu meneruskan penglibatan dalam Liga Malaysia sedangkan tarikh tutup pendaftaran semakin hampir.

- Advertisement -